KUALA NERUS: Seramai 28 pelajar dari Kolej Universiti TATI (UC TATI) dan Mie University, Jepun menyertai program mobiliti antarabangsa, Culture N Connect yang bertujuan memupuk semangat kerjasama, memperkenal budaya tempatan serta menggalakkan komunikasi rentas budaya dalam kalangan pelajar, di sini, baru-baru ini.
Program itu disertai 13 pelajar dari Jepun dan 15 pelajar dari UC TATI.
Pengarah Program, Suhairah Mohd. Suhaimi berkata, Culture N Connect adalah platform tahunan namun tahun ini merupakan kali pertama ia dilaksanakan dalam bentuk pertukaran budaya secara menyeluruh melibatkan aktiviti pelancongan pendidikan atau Edu Tourism.
“Melalui program ini, pelajar bukan sahaja berpeluang mengenali budaya masyarakat Terengganu malah mereka turut merasai sendiri pengalaman mencanting batik, kuih tradisional dan menikmati juadah tempatan seperti nasi minyak,” katanya.
Katanya, antara pengisian utama program ialah lawatan ke Pusat Seni Kreatif Lambo Sari yang dipilih sebagai salah satu lokasi utama bagi memberi peluang kepada pelajar Jepun untuk menimba pengalaman dalam seni kreatif tempatan.
“Mereka berpeluang mempelajari teknik mewarna dan mengecap batik, selain turut diajar cara-cara membuat kuih tradisional Melayu,” katanya.-UTUSAN.










