PBB perlu dirombak, reformasi - PM

PBB perlu dirombak, reformasi – PM

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu dirombak dan melalui proses reformasi akibat kegagalan menguruskan beberapa isu termasuk keganasan rejim Zionis di Gaza. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertubuhan itu perlu bersikap lebih adil dan bukan hanya mewakili kepentingan negara tertentu sahaja. 

Beliau berkata, tuntutan melaksanakan perubahan dan reformasi berkenaan pernah disuarakan sendiri oleh Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres.  

“Kita sering bercakap mengenai demokrasi yang inklusif, dan bagaimana sistem sedia ada perlu lebih adil serta mewakili semua pihak, serta tidak terus terikat kepada syarat asal penubuhannya.

“Ramai bercakap mengenai reformasi dan bagaimana PBB perlu menjadi lebih demokratik serta menyeluruh. 

“Namun, dengan sistemnya sedia ada, ia gagal menyelesaikan isu, menyebabkan pengaruhnya semakin merosot,” katanya kepada media Malaysia pada akhir lawatan empat harinya ke Tianjin dan Beijing sejak 31 Ogos lalu. 

Anwar berada di China atas jemputan Presiden China, Xi Jinping, bagi menghadiri dan menyampaikan ucapan pada Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) 2025.

Ia adalah julung kali seorang Perdana Menteri Malaysia dijemput menghadiri sidang kemuncak terbabit.

Semasa berada di China, Anwar berpeluang menyertai pemimpin dan kenamaan asing pada perarakan Hari Kemenangan bagi memperingati 80 tahun berakhirnya Perang Dunia kedua, di Dataran Tiananmen. 

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di dataran itu disambut oleh Presiden China, Xi Jinping dan Wanita Pertama, Peng Liyuan.

Acara peringatan yang disiarkan secara langsung oleh media China turut dihadiri oleh puluhan ribu pengunjung.

Xi, yang juga Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China dan Pengerusi Suruhanjaya Tentera Pusat turut menyampaikan ucapan dan memeriksa perarakan berkenaan.

Kementerian Luar China memaklumkan sebanyak 26 pemimpin asing menghadiri perarakan ketenteraan berskala besar itu.

Antaranya termasuklah Presiden Russia, Vladimir Putin; Presiden Iran, Masoud Pezeshkian; Raja Kemboja, Norodom Sihamoni; Presiden Mongolia, Ukhnaa Khurelsukh; Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dan Pemangku Presiden Myanmar, Min Aung Hlaing. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×