ALOR GAJAH: Seorang guru tahfiz direman tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki merotan seorang murid lelaki berusia 12 tahun sehingga lebam di beberapa anggota badan, semalam.
Perintah reman sehingga 9 September ini dikeluarkan Hakim Aiza Khairuddin terhadap suspek lelaki berusia 22 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.
Menurut sumber, kejadian terbongkar pada petang semalam selepas pengadu yang juga ibu mangsa mendapati anak lelakinya kerap mengalami sakit badan akibat sering dirotan guru.
Katanya, mangsa belajar di sebuah pusat tahfiz di Tanjung Bidara sejak dua tahun lalu.
“Wanita berusia 42 tahun itu terkejut apabila melihat kesan lebam lama dan baharu pada bahagian belakang badan, paha, tangan dan kaki mangsa. Kanak-kanak itu mendakwa kecederaan itu disebabkan guru tahfiznya kerap menggunakan rotan atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Sumber berkata, ibu mangsa menghubungi guru tersebut dan suspek mengaku telah merotan mangsa kerana sukar dikawal dan tidak mendengar arahan.
“Pengadu yang tidak berpuas hati dengan tindakan suspek telah membuat laporan di Balai Polis Masjid Tanah petang semalam. Mangsa juga diberikan borang Pol. 59 untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.
“Bertindak daripada laporan itu, pegawai penyiasat dan sepasukan anggota polis telah ke pusat tahfiz berkenaan sebelum menahan suspek untuk direman hari ini,” katanya.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi SuperintendenAzrul Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan. – UTUSAN









