KUALA TERENGGANU: Seorang pekerja inap desa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas dua pertuduhan melakukan pencerobohan dan mengintai seorang usahawan wanita ketika sedang mandi di sebuah rumah inap desa di Kampung Jeram, Manir, di sini, minggu lalu.
Tertuduh, Ahmad Farhan Rizal Abdullah, 29, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood. Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa dengan maksud mengaibkan kehormatan seorang wanita dengan melihat kemaluannya kira-kira pukul 12.30 tengah malam, 26 Ogos lalu.
Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki premis penginapan sama yang digunakan sebagai tempat tinggal pada masa dan tarikh berkenaan. Pertuduhan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda hingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 5 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Terdahulu, media melaporkan hajat seorang peniaga wanita bercuti dan membuat penggambaran baju Melayu di sebuah inap desa di daerah ini tergendala apabila dia dipercayai menjadi mangsa ‘intip’ ketika berada di dalam bilik mandi.
Mangsa berusia 36 tahun dari Ampang, Kuala Lumpur mendakwa ternampak tangan seseorang memegang telefon bimbit di tingkap bilik mandi sebelum menjerit memanggil suaminya.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh turut berdepan satu lagi pertuduhan berkaitan kesalahan dadah. Mengikut pertuduhan, Ahmad Farhan didapati menyalahgunakan dadah jenis Methamphetamine selepas ujian saringan air kencing ke atasnya didapati positif. Bagi kesalahan itu, dia dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak kemudian menjatuhkan hukuman enam bulan penjara serta pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun selepas tertuduh mengaku bersalah. – UTUSAN










