PUTRAJAYA: Kemasukan pelajar tempatan terutama golongan B40 tidak akan terjejas dengan pengambilan pelajar antarabangsa ke universiti awam negara ini.
Menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, dasar dan polisi kerajaan berhubung kuota pelajar tempatan di universiti awam untuk mendidik generasi anak muda negara masih kekal sampai sehingga dan tidak pernah berubah.
Katanya, pihak universiti menyediakan laluan alternatif dan komersial bagi pelajar antarabangsa dalam usaha mengangkat Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi global.
Malah, kata beliau, semua pelajar antarabangsa dikenakan yuran penuh tanpa sebarang subsidi oleh kerajaan dan kemasukan ke mana-mana program harus melalui proses saringan serta menepati syarat am dan khusus yang ditetapkan oleh pihak universiti.
Hasil daripada yuran pelajar antarabangsa ini digunakan oleh pihak universiti bagi menambah baik dan meningkatkan lagi fasiliti universiti masing-masing untuk dinikmati secara bersama oleh semua pelajar termasuk pelajar tempatan.
“Saya beri jaminan, kementerian tidak akan sekali-kali mengorbankan hak pelajar tempatan. Keutamaan tetap pada mereka, tetapi kita juga tidak menutup peluang pelajar antarabangsa yang mahu belajar di sini.
“Malah, kehadiran mereka membuktikan Malaysia semakin diyakini sebagai destinasi pendidikan berkualiti di peringkat global,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Mengikut rekod Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) setakat 31 Disember tahun lalu, secara keseluruhan enrolmen pelajar antarabangsa di Malaysia adalah seramai 155,986 orang daripada jumlah 1,251,552 enrolmen pelajar di uinversiti awam dan swasta.
Manakala untuk universiti awam secara khusus, terdapat seramai 53,322 orang pelajar antarabangsa untuk kedua-dua kategori prasiswazah dan pasca siswazah dengan peratusan pada 8.7 peratus sahaja.
Pelajar antarabangsa di peringkat prasiswazah UA ini adalah meliputi mereka yang mengambil ijazah pertama dan menyertai program mobiliti pelajar.
Bagi kemasukan di lima Universiti Penyelidikan (RU) iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula, bilangan pelajar tempatan dan antarabangsa di lima universiti berkenaan adalah seramai 180,024 orang dengan perincian seramai 141,636 orang merupakan pelajar tempatan dan 38,388 orang atau 21.3 peratus merupakan pelajar antarabangsa.
Daripada jumlah tersebut, 15.8 peratus adalah pelajar pasca siswazah dan baki 5.5 peratus adalah pelajar prasiswazah. Sesuai dengan status sebagai RU, kelima-lima buah universiti itu memberi tumpuan pengambilan pelajar antarabangsa di peringkat pasca siswazah dan ini berjaya menarik 28,383 orang pelajar antarabangsa dan menyumbang 46.7 peratus daripada jumlah enrolmen pelajar pasca siswazah.
Pada masa sama, KPT tidak mengehadkan sebarang peratusan bagi pengambilan pelajar antarabangsa di peringkat pasca siswazah.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata, isu diskriminasi antara pelajar tempatan dan antarabangsa ini timbul rentetan ada beberapa pelajar yang cuba memohon ke universiti tetapi tidak dapat peluang itu terutama yang melibatkan keputusan terbaik semua A subjek yang diambil.
“Secara logik akal siapa yang dapat semua A akan dapat tempat di universiti dan memperoleh bidang-bidang yang memang menjadi rebutan.
“Tetapi ada satu dua kes itu yang tidak dapat. Berdasarkan kajian kita, memang ada kes benar tetapi ada juga kes walaupun ada yang dapat semua A, namun dia tidak mengambil subjek Matematik Tambahan contohnya, sedangkan kursus kritikal seperti perubatan memerlukan subjek itu.
“Kemasukan ke universiti sangat kompetitif. Jadi, kita kena nilai dia berdasarkan meritokrasi iaitu 90 peratus akademik dan 10 peratus kokurikulum,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, UM mempunyai satu lagi saluran alternatif kemasukan iaitu SATU yang membuka ruang kepada pelajar-pelajar, cuma kos tinggi mengikut kos sebenar berbanding saluran perdana diberi subsidi oleh kerajaan, selain saluran komersial yang mana kosnya lagi tinggi untuk pelajar antarabangsa.
“Isunya sekarang bila dia tidak lepas saluran perdana tetapi dapat melalui saluran alternatif, dia mendakwa seolah-olah menindakkan hak dia dan mengatakan pelajar antarabangsa mengambil tempat mereka. Sedangkan tidak berlaku begitu.
“Saluran perdana ini memang ada kuota khas dan tidak akan diganggu. Ini kita tidak akan benarkan mana-mana pelajar asing mengganggu kuota ini.
“Contoh UM sediakan 120 tempat untuk pelajar tempatan dalam jurusan perubatan dan ia tidak akan benarkan mana-mana pelajar asing masuk ke dalam kuota ini dan melindungi kuota untuk pelajar tempatan ini.
“Maka sesiapa yang mampu untuk memasuki saluran alterternatif atau komersial itu, ia digambarkan seolah-olah kuota itu menidakkan hak orang tempatan,” katanya. – UTUSAN










