KANGAR: Kemunculan semula Ahli Dewan Negara, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang memasuki gelanggang dalam pemilihan Pas pertengahan bulan ini menarik perhatian ramai.
Hal itu setelah selepas beliau pernah menyatakan untuk berehat seketika di dalam politik selepas tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Kelantan, dua tahun lalu dan agak menyepi selepas itu sebelum dilantik sebagai Senator.
Dalam pemilihan nanti, anak kepada bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat itu bakal bersaing dengan 30 calon yang bertanding jawatan Ahli Jawatankuasa Pas pusat bagi menempatkan diri dalam kalangan 18 yang dipilih.
Meskipun bakal berdepan tentangan sengit daripada calon bertanding kebanyakkan mempunyai nama besar di dalam parti, namun kemenangan Nik Mohamad Abduh dilihat cukup penting atau signifikan bagi meneruskan legasi Nik Abdul Aziz di dalam Pas.
Nama dan pengaruh Nik Abdul Aziz di dalam Pas cukup besar selaku Menteri Besar Kelantan lebih 20 tahun dan sememangnya legasi tersebut perlu diteruskan oleh anaknya dengan Nik Mohamad Abduh dilihat paling hampir dan sesuai diketengahkan.
Malah, sebelum ini, Nik Mohamad Abduh juga sering digambarkan sebagai ‘batang tubuh’ atau persis kepada Tok Guru Nik Aziz itu.
Nik Mohamad Abduh sebelum itu, merupakan antara sosok penting di dalam parti dan pernah memegang jawatan Ketua Pemuda Pas dari 2015 hingga 2017 selain sebagai Ahli Parlimen Pasir Mas (2013-2018) dan Bachok (2018-2022).
Selepas itu, khususnya ketika menjelang PRN pada 2023, nama Nik Mohamad Abduh perlahan-lahan menyepi dalam arus politik perdana. Sebelum itu, pada 2021, beliau juga gagal mempertahankan jawatan Ahli Jawatankuasa Pas.
Sedangkan, Nik Mohamad Abduh yang merupakan pemimpin dalam kalangan ulama itu mempunyai potensi cukup besar untuk diketengahkan sebagai pemimpin masa depan Pas.
Nik Mohamad Abduh juga sering berperanan sebagai jambatan kepada penyatuan khususnya membabitkan hubungan antara Pas dan UMNO.
Pemilihan kali ini, dilihat masa yang cukup tepat untuk Nik Mohamad Abduh kembali semula berada di dalam saf kepemimpinan parti itu di peringkat pusat. Ia juga sedikit sebanyak mampu memberi nilai tambah kepada Pas dalam mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16.)
Di Kelantan dan Malaysia amnya, nama Nik Abdul Aziz cukup besar sebagai tokoh politik berpengaruh dan legasi Tok Guru Nik Aziz itu perlu diteruskan oleh Nik Mohamad Abduh. – UTUSAN










