KLUANG: Kisah hidup sebuah keluarga lapan beranak yang bergantung harap kepada upah membuat kuih popia simpul serta wang pencen ilat suami mendapat perhatian ramai.
Susulan laporan berita yang disiarkan akhbar ini pada 19 Ogos lalu, ahli jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Batu 3 menghulurkan bantuan membekalkan barang-barang keperluan dapur untuk keluarga berkenaan.
Hafizah Hamid, 48, berkata, dia dan keluarga berterima kasih dengan keprihatinan pihak ibu bapa dan guru sekolah berkenaan yang tampil membantu.
Katanya, pendapatannya kini terjejas apabila sudah hampir sebulan tidak menerima tempahan untuk membuat kuih popia simpul oleh itu bantuan yang diterima itu sedikit sebanyak dapat meringankan beban.
“Saya menerima upah antara RM7 hingga RM10 sehari bagi membuat kuih popia simpul. Sekarang sudah hampir sebulan tiada apa-apa tempahan diterima maka kami hanya berharap kepada pencen ilat kematian suami sebanyak RM500 sebulan.
“Dua anak saya bersekolah di SK Batu 3, tiga orang di sekolah menengah, seorang di politeknik manakala seorang lagi bekerja sebagai pembantu jualan di kedai menjual air dan pendapatannya adalah untuk persediaannya memasuki universiti dijangka pada September ini,” katanya.
Hafizah berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan barangan dapur dan keperluan harian daripada pasar raya Econsave Kluang hasil usaha ahli jawatankuasa PIBG SK Batu 3, di Kampung Sembrong di sini semalam.
Dia dalam pada itu memberitahu bersyukur kerana semua anak-anaknya menerima bantuan persekolahan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).-UTUSAN.










