Hotel di Segamat penuh walaupun gempa bumi

Hotel di Segamat penuh walaupun gempa bumi

SUASANA sebuah hotel di Segamat yang masih menerima ramai tetamu meski daerah itu berdepan beberapa siri gegaran akibat gempa bumi.-UTUSAN/FARAHWAHIDA AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Tempahan hotel di daerah ini tetap penuh walaupun gegaran gempa bumi lemah yang berlaku enam kali sejak minggu lalu mencetuskan kebimbangan orang ramai.

Kakitangan sebuah hotel, Juwarriah Hamat, 40, berkata, sambutan pelancong luar daerah sempena cuti umum hari kebangsaan tetap rancak malah tiada pembatalan tempahan bilik direkodkan.

“Pelancong masih memilih Segamat sebagai destinasi percutian. Ada tetamu yang me­rasai gegaran namun selepas penjelasan pihak hotel bahawa keadaan terkawal, mereka kembali tenang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Antara tarikan menarik di Segamat ialah Jambatan Rel Kereta Api Lama, Makam Bendahara Tepok, perkhidmatan Kereta Api Tanah Melayu (KTM) ETS ke Utara-Selatan tanah air dan Hutan Lipur Gunung Ledang.

Beliau menjelaskan, pihak hotel sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan tetamu dan memberi maklumat segera berkaitan gegaran supaya pe­ngunjung berasa yakin dan selesa.

Sementara itu, salah seorang tetamu hotel, N. Viknesh 34, berkata, kejadian gegaran gempa bumi lemah di Segamat sedikit merisaukan dirinya .

Namun dia memberitahu, tempahan penginapan di hotel masih diteruskan kerana kea­daan masih terkawal.

“Saya ada baca berita me­ngenai gempa bumi di Segamat tetapi saya berasa yakin atas keselamatan saya dan keluarga selepas menghubungi pihak hotel keadaan di sini.

“Setelah tiba saya rasa kea­daan biasa sahaja, tiada gempa bumi berlaku, semua berjalan lancar,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×