SEREMBAN: Kira-kira 5,000 peserta dari 87 buah kontinjen menyertai perbarisan sambutan Hari Kebangsaan Ke-68 Peringkat Negeri Sembilan yang diadakan di Padang Majlis Bandaraya Seremban (MBS) hari ini.
Kontinjen terlibat daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, pentadbiran daerah, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sekolah, institut pengajian tinggi serta syarikat swasta.
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir turut berkenan mencemar duli hadir ke acara sambutan.
Keberangkatan tiba baginda kira-kira pukul 8.15 itu diiringi Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud dan disambut oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Zafir Ibrahim.
Istiadat Kawalan Kehormatan Utama (KKU) terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion Kelima Belas Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Senawang.
Istiadat KKU telah diiringi Pancaragam Gabungan pasukan 24 RAMD dan 2 KAD yang berkekuatan seramai 32 anggota lain-lain pangkat/
Turut diadakan kemudiannya bacaan ikrar Rukun Negara yang diketuai Aminuddin manakala doa dibacakan oleh Mufti Negeri Sembilan, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Faudzinaim Badaruddin.

Menteri Besar berkata, kehadiran bagi sambutan hari kebangsaan tahun ini adalah di luar jangkaan dengan orang ramai mula memenuhi kawasan acara seawal pukul 6 pagi walaupun cuaca tidak menentu.
“Namun semangat ditunjukkan memberikan kekuatan kepada semua. Alhamdulillah kehadiran melebihi tahun lalu, inilah semangat kita, dan inilah harapan kita supaya anak- anak masyarakat samada yang tua atau muda menunjukkan sokongan dan rasa syukur bagi menyambut kemerdekaan.
“Saya bangga dengan rakyat negeri. Tahun ini, dianggarkan seramai 30,000 kehadiran rakyat di negeri ini. Berbilang bangsa dan kaum, inilah menunjukkan rakyat Malaysia sebenar,” katanya.
Sementara itu, dalam acara perbarisan itu juga, buat julung kalinya ditampilkan maskot rasmi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 (TMNS2026) iaitu sepasang rusa sambar yang diberi nama Jang dan Dagho oleh kontinjen Lembaga Pelancongan Negeri Sembilan.-UTUSAN.










