Tun Musa ingatkan rakyat tolak fitnah di media sosial

Tun Musa ingatkan rakyat tolak fitnah di media sosial

IHSAN ISTANA NEGERI SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, menyeru rakyat agar mengutamakan tanggungjawab moral dan sosial dalam memastikan setiap maklumat yang dikongsi, khususnya di media sosial, adalah tepat dan sahih.

Dalam Perutusan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap trend penularan fitnah dan kebencian yang semakin berleluasa sehingga mampu menimbulkan keresahan dalam masyarakat.

“Amat membimbangkan apabila kebencian seperti ini semakin banyak tersebar di media sosial, di mana kandungan sering diambil di luar konteks dan dikongsi berulang kali tanpa pengesahan sahih daripada pihak berkuasa atau sumber yang betul,” katanya.

Tun Musa turut mengingatkan rakyat agar berwaspada dalam era teknologi maklumat dan kecerdasan buatan (AI) dengan memastikan setiap perkongsian dibuat secara bertanggungjawab.

“Semasa kita melangkah ke era teknologi maklumat yang canggih, kita mesti mengingatkan diri bahawa kita masih mempunyai tanggungjawab memastikan apa sahaja maklumat yang dikongsi adalah tepat dan benar,” katanya.

Beliau juga menyeru rakyat Sabah mempertahankan perpaduan serta menolak usaha pihak tidak bertanggungjawab yang cuba memecahbelahkan masyarakat dengan penyebaran maklumat palsu.

Tun Musa menegaskan bahawa keharmonian dan kepelbagaian budaya di Sabah adalah kekuatan utama negeri ini, sekali gus menjadi contoh terbaik kepada negara dalam mengekalkan semangat perpaduan.

“Pada Hari Kebangsaan dan Hari Sabah 2025 ini, marilah kita bersama-sama memperbaharui tekad untuk kekal bersatu padu dan bekerjasama demi kejayaan berterusan Sabah dan Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×