KANGAR: Atlet lontar peluru negara, Jonah Chang Anak Rigan yang sudah mengesahkan tiket di Sukan SEA 2025 Thailand menyasarkan untuk membawa pulang pingat buat negara.
Keyakinan itu makin menyala apabila atlet berusia 22 tahun dari Sarikei, Sarawak itu menjuarai acara itu di Terbuka Malaysia di sini semalam di samping memecahkan rekod kejohanan.
Jonah Chang melakukan lontaran 18.43 meter (m) sekali gus mengetepikan cabaran atlet China, Xia Guoyuan di tempat kedua (17.63m) dan Thongchal Silamool dari Thailand di tempat ketiga dengan lontaran sejauh 16.67m.
Lontaran dibuatnya itu juga menghampiri catatan rekod kebangsaan miliknya 18.46 m yang dicipta di Kuantan, Pahang, Jun taun lalu.
Katanya, sasarannya selepas ini adalah Sukan SEA Thailand.
“Sasaran adalah untuk dapatkan pingat dalam Sukan SEA hujung tahun ini dan jika dapat pecahkan rekod kebangsaan dalam kejohanan berkenaan adalah sangat baik.
“Jika saya berjaya membuat lontaran sehingga 19 m dalam Sukan SEA nanti, ia adalah bonus,” katanya. – UTUSAN







