KANGAR: Atlet lontar tukul besi wanita negara, Grace Wong memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri apabila mencatatkan balingan 63.53 meter (m) pada Kejohanan Terbuka Malaysia di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini hari ini.
Atlet kelahiran Sarikei, Sarawak itu memadam rekod miliknya sendiri dengan catata 62.48m pada 2021 yang dilakukannya dalam Kejohanan Grand Prix (GP) Malaysia di Bukit Jalil.
Kejayaan terbaharu itu sekali gus memberi suntikan semangat kepada Grace untuk mengekalkan pingat emas dalam Sukan SEA, Thailand, pada hujung tahun ini.
Dalam acara tersebut, Grace melakukan catatan 63.53 pada lontaran kedua sekali gus mengetepikan cabaran Zahra Tatar dari Algeria di kedudukan kedua (61.37m) dan Park Seo Jin dari Korea Selatan dengan lontaran 59.13m.
Katanya yang mewakili Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dia hanya melakukan yang terbaik dan tidak jangka memecahkan rekod.
Ujarnya, pencapaian itu sebagai persediaan untuknya ke Sukan SEA hujung tahun ini.
“Selepas ini, saya akan pulang semula ke China untuk teruskan latihan bersama jurulatih saya. Saya pergi China dengan belanja sendiri untuk berlatih di sana dan ia sangat membantu.
“Dalam Sukan SEA nanti, saya jangka pencabar terdekat sudah pasti atlet dari Thailand dan saya akan terus memberikan yang terbaik,” katanya.
Pada Sukan SEA Kemboja 2023, Grace berjaya meraih pingat emas dan ia merupakan pingat emas ketiganya di pentas sukan dwitahunan tersebut. – UTUSAN







