LAUNGAN merdeka bergema di seluruh tanah air saban tahun pada 31 Ogos. Media sosial turut tidak ketinggalan menyambut semangat ini. Kita lihat wajah-wajah patriotik di pelbagai platform media sosial berlatar belakangkan lagu Tanggal 31 dan pelbagai kapsyen berbunga melaungkan rasa cinta terhadap negara.
Namun di sebalik sorakan dan unggahan bersemangat itu, timbul persoalan yang semakin meresahkan. Sejauh mana kita benar-benar menghayati makna kemerdekaan dalam dunia maya? Apakah kemerdekaan yang kita laungkan itu turut mencerminkan kebebasan emosi, maruah dan keselamatan diri dalam ruang digital yang kita gunakan setiap hari?
Realitinya, ramai antara kita masih belum bebas sepenuhnya. Bukan dari penjajahan luar tetapi daripada bentuk penindasan yang lebih senyap dan halus, iaitu buli siber.
Dalam era teknologi yang membolehkan komunikasi berlaku sepantas kilat, muncul pula fenomena yang menjadi penyakit jiwa moden. Penghinaan, sindiran, kecaman terbuka, penyebaran aib serta penolakan sosial secara maya berlaku hanya dengan satu sentuhan jari melalui platform media sosial.
Ironinya, kita tidak nampak wajah pembuli, tidak dengar suaranya tetapi luka yang ditinggalkan amat mendalam dan berpanjangan. Jika dibiarkan, ia mampu memberi kesan yang sangat serius kepada mangsa, bukan sahaja dari segi emosi, malah boleh mengancam nyawa.
Pada tahun lalu (sehingga November 2024), lebih daripada 8,000 kes buli siber dilaporkan kepada CyberSecurity Malaysia. Dalam masa sama, negara turut dikejutkan dengan beberapa kes kematian tragis berpunca daripada tekanan akibat buli siber.
Ramai antara mangsa memilih untuk berdiam diri, sama ada kerana rasa takut, malu, atau tidak tahu ke mana harus mengadu. Mangsa kebanyakannya terdiri daripada remaja, pelajar universiti dan pekerja muda yang terdedah kepada tekanan sosial serta budaya digital yang toksik. Lebih menyedihkan, dalam banyak kes, pelaku bukanlah orang asing. Mereka mungkin rakan sekolah, ahli keluarga, kenalan sekerja atau individu dalam kumpulan WhatsApp yang sama. Inilah yang menjadikan buli siber sangat bahaya. Ia ibarat duri dalam daging, kecil, tidak kelihatan tetapi mampu meninggalkan luka besar dalam diri.
Buli siber juga hadir dalam pelbagai wajah. Ia bukan sahaja berlaku melalui kata-kata kasar atau makian terang-terangan tetapi juga melalui tindakan pasif-agresif seperti membiarkan mesej tidak berbalas, menyindir dalam status, atau menyebarkan tangkap layar perbualan peribadi tanpa izin.
Dalam budaya digital hari ini, tindakan seperti ini sering dianggap perkara biasa dan tidak serius, bahkan kadang-kadang dilabel sebagai sekadar gurauan.
Kebebasan bersuara pula sering disalah guna, dijadikan alasan untuk melemparkan komen-komen negatif atau menyentuh sensitiviti individu lain. Lebih mengecewakan, budaya mengecam atau mengejek menjadi norma yang diterima ramai. Mangsa dipersalahkan, manakala pelaku pula diraikan dengan tanda suka dan perkongsian yang menggalakkan lagi penyebaran kebencian.
Kemerdekaan bukan hanya tentang bebas dari penjajahan fizikal tetapi juga daripada penjajahan minda dan emosi. Jiwa yang merdeka ialah mampu hidup tanpa ketakutan, berani bersuara dengan bijaksana dan bebas daripada rasa terhina di ruang yang sepatutnya menjadi tempat berkongsi ilmu, pandangan atau pengalaman.
Sudah tiba masanya kita menilai semula peranan kita sebagai rakyat Malaysia dalam menghadapi isu ini. Dalam dunia digital, setiap individu bukan hanya pengguna, tetapi juga pembentuk budaya. Kita mempunyai pilihan sama ada menjadi penonton yang pasif atau agen perubahan yang aktif. Kita boleh memilih untuk mengabaikan atau membela. Dalam sebuah negara yang merdeka, tidak seharusnya wujud ruang untuk penindasan, walaupun ia berlaku dalam bentuk mesej, emoji atau status maya.
Pendidikan tentang etika digital perlu dijadikan keutamaan. Ia bukan sekadar tanggungjawab guru atau pensyarah tetapi juga ibu bapa, rakan sebaya dan masyarakat secara menyeluruh. Kanak-kanak perlu dibimbing sejak awal agar memahami beza antara bergurau dan menyakiti. Orang dewasa pula perlu diberikan kesedaran agar tidak terus menyumbang kepada budaya buli yang semakin menular. Dalam masa sama, undang-undang berkaitan buli siber perlu diperkasakan supaya mangsa tidak dibiarkan tanpa perlindungan dan pelaku tidak terus bebas daripada tanggungjawab.
Kemerdekaan yang sebenar tidak terhenti di pentas perbarisan atau dalam nyanyian lagu kebangsaan. Ia hidup dan bernyawa dalam cara kita memperlakukan satu sama lain, sama ada di alam nyata mahupun maya. Jika kita benar-benar cintakan negara, maka kita juga perlu mencintai rakyatnya dengan memastikan ruang digital yang kita gunakan ini lebih selamat, beretika dan berperikemanusiaan.-UTUSAN
DR. NUR SYAZWANI AHMAD
Pensyarah Kanan
Pusat Asasi Sains Universiti Malaya










