Konsep yang dipilih minggu ini bukan sahaja ringkas dan kemas, tetapi masih punya ‘jiwa’ yang hangat.
Kediaman milik pasangan guru, Mohd. Afiq Salahuddin dan Siti Norsaedah Che Mansor ini menyerlahkan elegan moden yang mudah disesuaikan dengan gaya hidup masa kini.
Kata Siti Norsaedah, kediaman jenis semi D itu dilatari konsep moden kontemporari sebagai identiti utama.
“Setiap rumah mempunyai cerita tersendiri, begitu juga dengan kediaman saya.
“Konsep ini memberi keseimbangan antara gaya moden kemas dan praktikaliti kontemporari yang fleksibel, menjadikan rumah bukan sahaja cantik dipandang, malah selesa untuk didiami,” katanya kepada Seri.
Proses dekorasi mengambil masa hampir empat tahun, seiring dengan usia rumah.

Segalanya diatur sendiri tanpa khidmat pereka dalaman. Daripada perancangan awal, pemilihan material, sehinggalah kepada susun atur akhir.
Malah, sebelum menerima kunci rumah lagi, mereka telah berbincang tentang kabinet dapur, kabinet televisyen serta kerja pendawaian elektrik.
Dekorasi pula ditambah sedikit demi sedikit, bak kata pepatah, sikit-sikit lama-lama jadi bukit.
Konsep moden kontemporari yang diterapkan jelas kelihatan melalui garis reka bentuk yang bersih, pilihan warna neutral seperti putih, kelabu dan hitam dengan sentuhan tambahan coklat serta emas agar tidak kelihatan suram.

Pencahayaan moden turut memainkan peranan besar. Lampu dinding dan gantung digunakan untuk menambah seri, manakala material kaca, kayu dan besi pula dipadukan bagi mencipta tekstur serta karakter.
“Gaya moden memberi sentuhan ringkas dan teratur, manakala kontemporari pula menambah elemen segar serta mudah disesuaikan dengan trend semasa.
“Ruang tamu menjadi bahagian paling disukai. dengan susun atur terbuka dan pencahayaan semula jadi yang maksimum, ia menjadi pusat keluarga berkumpul sambil mengekalkan suasana santai,” katanya.
Walaupun tampak eksklusif, kediaman ini tidak sukar untuk dijaga.
Malah, ia juga fleksibel untuk diubah suai mengikut trend terkini, sesuai dengan gaya hidup keluarga moden yang mahukan keseimbangan antara fungsi dan estetika.










