KETIKA mula berjinak-jinak dengan dunia tanaman tujuh tahun lalu, antara angan-angan wanita ini adalah untuk memiliki sebuah kebun mini.
Bukan sebarang kebun tetapi ruang hijau yang sarat dengan sayuran segar, herba dan buah-buahan.
Seolah-olah berada di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).
Kini, impian Mahani Amat @ Halimi, 44, berjaya direalisasikan apabila halaman dan belakang rumahnya yang dulu kosong dipenuhi dengan pelbagai tanaman.
Daripada daun pandan, kunyit, limau purut, kari dan serai hinggalah kepada sawi pak choy, kangkung, kailan, terung, bendi, cili, timun jepun, tomato, petola, kubis serta kubis bunga.
Tidak ketinggalan, buah-buahan unik lagi berkhasiat seperti nanas batu, jambu air hijau dan markisa turut melengkapi kebunnya.
Unikya, setiap tanaman itu ditanam di dalam beg poli dan pasu dengan jumlah keseluruhannya mencecah 50.
Hasil usahanya itu bukan sahaja menjadi terapi diri, malah turut membuatkan ahli keluarga dan jiran tetangga terpesona.
Menurut Mahani, minat bercucuk tanam itu bercambah sejak 2018 ketika mengikuti pengajian peringkat ijazah.

“Selain untuk mengisi masa lapang, saya percaya yang aktiviti berkebun dapat mengurangkan stres belajar.
“Dalam masa sama, saya dapat mempraktikkan ilmu pertanian yang dipelajari, sekurang-kurangnya saya tidaklah ‘lupa’ bila kembali bekerja selepas graduasi,” katanya kepada Seri baru-baru ini.
Paling penting, menerusi hobi itu juga, pegawai pertanian di Universiti Putra Malaysia (UPM) ini dapat memiliki bekalan sayuran yang segar, sihat dan selamat untuk kegunaan sendiri.
Sejak itu, Mahani sekeluarga lebih banyak makan sayuran dari kebunnya berbanding membeli di pasar atau pasar raya.
“Di peringkat awal, saya hanya berani tanam lima pokok asas iaitu daun pandan, kunyit, limau purut, serai dan kari.
“Bila tengok ia subur, saya makin bersemangat untuk mencuba tanam sayur-sayuran lain,” katanya yang mendapat sokongan padu suami.
Ibu kepada tiga anak berusia antara 11 hingga 17 tahun ini berkata, kaedah penanaman dalam pasu lebih mudah diuruskan di samping turut mengguna pakai sistem hidroponik.
Tambahan pula, saiz tanah yang terhad dan kurang subur di kediamannya di Taman Desa Jati, Nilai, Negeri Sembilan itu.

‘Tangan panas’ hanya mitos
Kejayaan bercucuk tanam bukan disebabkan seseorang memiliki ‘tangan panas’.
Bagi Mahani, istilah itu hanya mitos semata-mata kerana yang menentukan ialah teknik digunakan.
Katanya, cahaya, air, tanah dan penjagaan rapi adalah kunci utama yang menentukan sesuatu tanaman hidup subur.
“Ramai mengabaikan soal cahaya sedangkan ia adalah ‘vitamin’ penting untuk pokok.
“Kalau kawan-kawan mengeluh tanaman mereka tidak menjadi, soalan pertama yang saya ajukan ialah tentang rumah mereka.
“Bagi yang tinggal di apartmen atau flat, risikonya lebih tinggi kerana kedudukan rumah yang terlindung daripada cahaya,” katanya.
Mahani berkata, siraman dilakukan sekali sehari ketika cuaca baik dan ditambah kepada dua kali apabila cuaca panas.
Terlalu banyak air boleh menyebabkan akar ‘sesak nafas’ dan pokok mudah mati.
Selain itu, campuran tanah turut mempengaruhi kesuburan tanaman di samping penjagaan lain seperti pemberian baja dan biji benih.
Pastikan biji benih masih segar dan tarikh luputnya belum tamat, manakala lebihannya simpan dalam peti sejuk agar kualiti kekal terpelihara.

“Usah bandingkan dengan orang dulu-dulu yang cuma campak benih dan ia terus tumbuh, mungkin kawasan mereka cukup air, cahaya dan tanahnya subur,” katanya.
Seperti orang lain, Mahani juga pernah menghadapi kegagalan apabila terung yang disemai tidak berhasil di samping serangan haiwan.
Namun, itu bukan alasan untuk berputus asa sebaliknya, dia gigih mengenal pasti punca dan memperbaiki tekniknya.
“Sebenarnya sesiapa sahaja boleh berkebun asalkan tahu teknik yang betul, berilmu dan bersabar.
“Kalau tidak cukup sabar memang susah untuk konsisten dengan hobi ini kerana hasilnya hanya dapat dilihat selepas satu hingga dua bulan,” katanya.
Nanas batu jadi penawar
Ketiga-tiga buah yang ditanam wanita ini boleh dianggap unik kerana jarang menjadi pilihan ramai.
Kata Mahani, nanas batu kaya dengan khasiat terutama dalam melawaskan kencing.
“Nanas ditanam di belakang rumah dan menariknya ia tidak memerlukan penjagaan rapi.
“Saya pilih nanas batu kerana ia merupakan penawar kepada masalah batu karang yang dialami.
“Air rebusannya saya minum seminggu sekali,” katanya.
Selain itu, Mahani turut mengamalkan kaedah menyejuk beku tanaman bagi mengekalkan kesegarannya.
Antara yang sering disimpan menggunakan cara ini ialah daun kari dan limau purut.
Dalam masa terdekat, dia turut merancang untuk menanam ubi kentang dan bawang pula.

Jimat wang dapur
Hobi berkebun itu membolehkan Mahani berjimat antara RM150 ke RM200 sebulan bagi keperluan dapurnya.
Malah, dia dapat meraih wang sampingan menerusi penjualan anak-anak pokok sayur.
Katanya, aktiviti jualan itu rancak dilakukannya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atas permintaan rakan-rakan.
“Kubis dijual RM10 untuk satu pasu manakala herba pula RM5, dan duit itulah digunakan untuk menampung kos baja.
“Paling seronok, saya dapat berkongsi rezeki sayur-sayuran ini dengan jiran tetangga dan menyuntik semangat mereka untuk ikut jejak langkah sama.
“Sekali tanam dalam bekas hidroponik bertingkat, saya dapat menghasilkan sehingga 120 pokok yang pelbagai jenis,” katanya.










