PUTRAJAYA: Laporan penuh insiden gangguan elektrik di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam, akan diperoleh antara dua hingga empat minggu lagi.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, insiden itu dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke memaklumkan laporan penuh insiden itu akan disediakan bagi mendapatkan penjelasan terperinci.
“Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) juga diarah mengambil langkah perlu bagi mengelak insiden itu berulang pada masa depan.
“Loke juga memaklumkan sistem penjana sokongan sedia ada telah memastikan bahawa aspek dan sistem kritikal di KLIA2
tidak terjejas sewaktu kejadian ini berlaku,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.
Dalam kejadian 2.15 petang itu, satu kejadian gangguan sementara bekalan elektrik berlaku di Terminal 2 KLIA susulan insiden lampau kilat melibatkan penyambungan kabel, menurut MAHB.
MAHB dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya memberikan jaminan bahawa operasi lapangan terbang tidak terjejas kerana sistem penting terus berfungsi tanpa gangguan.
Menurutnya, sistem kuasa utama termasuk penjana sokongan diaktifkan serta-merta, memastikan sistem kritikal seperti pengendalian bagasi, kaunter daftar masuk dan paparan maklumat penerbangan, berfungsi seperti biasa.
Loke sebelum ini menyifatkan insiden itu sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali, kerana menjejaskan imej negara.
Insiden tersebut berlaku ketika Loke berada di KLIA2 bagi pelancaran kempen Tap, Travel and Discover anjuran gateway@klia2. – UTUSAN










