JOHOR BAHRU: Murid tahun empat, Izzul Islam Azuan Isaidi yang mengalami kecederaan gegaran otak selepas didakwa dipukul senior di sekolahnya 7 Ogos lalu, sekali lagi dirawat di Hospital Pakar KPJ Puteri di sini hari ini.
Menurut ibunya, Siti Suhana Misdi, 39, anaknya, Izzul Islam, 10, dikejarkan ke hospital susulan kesihatannya semakin merosot selepas dibenarkan keluar hospital sejak 20 Ogos lalu.
“Selepas keluar hospital, doktor minta kami membuat pemantauan kesihatan di rumah, sejak tiga hari lalu, Izzul mengadu sakit kepala, loya dan muntah.
“Kemuncaknya dia jatuh pengsan hari ini dan doktor terus minta kami bawa dia ke hospital dan sekali lagi dia ditempatkan wad Hospital Pakar KPJ Puteri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Siti Suhana berkata, dia dan keluarganya memohon agar orang ramai mendoakan kesihatan anak keempat daripada enam beradik itu kembali pulih seperti sedia kala.
Izzul Islam yang juga pesakit kanser hidung dimasukkan ke wad Hospital Pakar KPJ Puteri di sini pada 12 Ogos lalu selepas didakwa dipukul dalam dua insiden berasingan di sekolah agama dan sekolah kebangsaan di Skudai hingga mengalami gegaran otak serta gangguan daya ingatan.
Difahamkan, dalam dua kejadian itu, mangsa didakwa dipukul, dihentak di kepala selain dipaksa berbogel oleh murid tahun enam gara-gara tidak berpuas hati kerana kakaknya menolak cinta murid terbabit. – UTUSAN











