PRISM+ Q55-QE televisyen pintar mampu milik

PRISM+ Q55-QE televisyen pintar mampu milik

PRISM+ merupakan jenama monitor dan televisyen nombor satu di Singapura dan semakin dikenali di Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JIKA suatu ketika dahulu memiliki televisyen pintar (Smart TV) bersaiz besar memerlukan anda melaburkan sejumlah wang yang besar, kini tidak lagi.

Sudah terlalu banyak televisyen pintar berada di pasaran ketika ini termasuk fungsi Android TV dan Google TV dengan teknologi tersendiri yang secara tidak langsung mewujudkan pasaran kompetitif.

Antara televisyen pintar bersaiz besar iaitu 55 inci yang mampu milik adalah PRISM+ Q55-QE. Walaupun sudah berada di pasaran sejak beberapa tahun lepas, namun Google TV dengan paparan Quantum IPS beresolusi 4K ini masih relevan.

Memuatkan artikel berkaitan…

IPS adalah singkatan In-Plane Switching, merujuk kepada teknologi Paparan Kristal Cecair yang sangat terkenal kerana ketepatan warna yang tinggi dan sudut tontonan hebat.

Panel IPS mengekalkan keselarasan dan kejelasan warna daripada mana-mana sudut sekali gus memberikan perspektif tontonan berbeza bagi televisyen pintar jenama dari Singapura ini.

PRISM+ Q55-QE menampilkan reka bentuk moden ZeroBezel, iaitu hampir tanpa bingkai yang lebih imersif dan elegan. Dengan berat sekitar 10.85 kilogram (tanpa kaki) dan ketebalan hanya 75 milimeter, reka

bentuk ini kelihatan kemas dan mudah dipasang di mana-mana ruang.

Logo PRISM+ terletak betul-betul di tengah bingkai bawah dan memegang panel ke atas ialah dua kaki aluminium yang tidak mengganggu dan mudah dipasang.

Daripada segi sambungan, televisyen ini dilengkapi dengan pelbagai port HDMI 2.0 termasuk Saluran Pulangan Audio (ARC), USB 2.0, AV In, Optical SPDIF, RF In, LAN serta Bluetooth 5.1 dan WiFi Dual-Band (2.4GHz & 5GHz) yang memastikan keserasian dengan peranti moden.

Televisyen ini juga memaparkan 1.07 bilion warna dengan panel IPS yang menawarkan sudut tontonan luas beserta warna terang yang konsisten, menjadikannya sangat sesuai untuk tontonan keluarga.

Tahap kehitaman pula agak bagus untuk panel IPS. Walaupun tidak setanding dengan panel LED, tetapi setimpal pada harganya.

Satu ciri yang menjadi tarikan, televisyen ini dikuasakan oleh sistem Google TV yang membolehkan pemiliknya memuat turun ribuan aplikasi menerusi Google Play Store kerana televisyen ini berfungsi seperti sebuah telefon pintar dengan skrin besar tanpa skrin sesentuh.

Sudah tentu ciri ini memberikan nilai tambah kerana boleh memuat turun pelbagai aplikasi hiburan termasuk YouTube, Netflix, Prime Video, Disney+, HBO GO, iQIYI, Viu dan Spotify tanpa sebarang masalah.

Selain itu, fungsi tambahan menarik termasuk Google Assistant dengan sokongan Bahasa Melayu, Inggeris dan Cina.

Chromecast terbina amat berguna untuk menyiarkan kandungan dari telefon, tablet atau komputer serta fungsi kawalan suara dan carian kandungan seluruh sistem.

Bagi audio pula, televisyen ini dilengkapi dengan sistem audio Dolby Audio dan DTS TruSurround, menggunakan dua pembesar suara 10W.

Kualiti bunyinya memadai untuk tontonan biasa tetapi bagi merasai pengalaman sinematik, penggunaan bar pembesar suara disarankan kerana bass agak minimum.

Bagaimanapun, alat kawalan jauhnya masih mengekalkan rekaan ‘lama’ iaitu agak besar dan panjang serta mempunyai puluhan butang.

Sedangkan, alat kawalan jauh daripada jenama lain di pasaran lebih minimalis dan kemas dengan hanya beberapa butang utama.

Aplikasi penting seperti YouTube, Netflix, PrimeVideo dan Disney+ Hotstar mempunyai butang pintasan pantasnya tersendiri dan turut dilengkapi butang Google Assistant untuk yang gemar menggunakan arahan suara.

Tidak dinafikan, PRISM+ Q55-QE ialah pesaing kuat dalam pasaran TV 4K bajet. Ia menawarkan keseimbangan kualiti gambar, ciri pintar dan prestasi permainan video yang baik, menjadikannya pilihan yang mantap bagi yang ingin menaik taraf kepada 4K tanpa perlu mengeluarkan wang lebih.

Adakah televisyen ini berbaloi? Jawapannya adalah ya, jika anda inginkan TV 55 inci dengan paparan cantik, ciri pintar lengkap dan harga mampu milik.

Walaupun ia mempunyai beberapa kelemahan kecil, nilai keseluruhan yang boleh didapati pada harga RM1,679 selepas baucar di laman web rasminya sukar untuk diabaikan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini