Cekak merdeka, sumber rezeki setiap Ogos

Cekak merdeka, sumber rezeki setiap Ogos

aksesori cekak merdeka melengkapkan busana tema kemerdekaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kadangkala rezeki datang dalam bentuk tidak disangka.

Itulah kisah seorang ibu muda yang kini semakin dikenali dengan hasil tangannya membuat cekak merdeka, sejenis aksesori kepala yang dipakai sempena bulan kebangsaan.

Pada awalnya, Siti Masnita Katan hanya ingin menghasilkan sesuatu yang comel untuk anak-anak tersayang gayakan di hari kemerdekaan, bagi menyemarakkan semangat patriotik.

Tidak disangka, perkongsian santai di media sosial TikTok kemudiannya mendapat perhatian ramai, yang akhirnya memberi limpahan rezeki buat keluarga kecilnya.

Ramai yang mula bertanya harga dan membuat tempahan. Daripada satu dua pelanggan, kini jumlahnya semakin bertambah saban tahun.

Tahun 2025 menjadi tahun paling meriah apabila pesanan masuk tanpa henti.

Malah, kadangkala Siti Masnita tidak sempat membalas mesej pelanggan kerana jumlahnya terlalu banyak.

Ada juga yang menelefon pada waktu tengah malam, hanya kerana mahu memastikan mendapat tempahan cekak merdeka sebelum kehabisan.

“Niat saya buat cekak macam ini sebab mahu tanam semangat cintakan negara terutama pada anak-anak. Ketika anak pakai, nampak bangga jadi orang Malaysia.

“Tahun ini memang lebih meriah, sampai saya tidak terjawab tempahan yang dilakukan menerusi dalam talian,” katanya yang mula menjual cekak merdeka sejak tahun lalu.

AIR TANGAN DIHARGAI

Cekak buatannya itu menjadi kegemaran kanak-kanak untuk digayakan pada acara kemerdekaan.

Namun, tidak kurang juga orang dewasa yang berminat, terutamanya guru-guru sekolah yang sering menyertai pertandingan atau acara bertemakan bulan kemerdekaan.

Katanya, ada pelanggan membeli untuk kegunaan sendiri, ada juga yang membeli secara borong untuk disewakan semula.

Uniknya, walaupun harga cekak ini bernilai RM100 seunit, pelanggan tetap tidak berkira kerana tahu nilai kerja tangan dan semangat yang disuntik ke dalam setiap satunya.

Jika dibeli dalam kuantiti banyak, Siti Masnita turut menawarkan harga promosi.

Setakat ini, wanita berusia 31 tahun ini hanya mampu menyiapkan sekitar 40 hingga 50 unit sahaja seorang diri.

Setiap cekak memerlukan masa dua hingga tiga hari untuk disiapkan.

“Cabaran paling besar adalah persaingan harga daripada pengusaha lain serta kekangan masa.

“Saya buat semua sendirian. Dahulu pernah juga ceburi bidang seni dengan buat inai pengantin, tetapi berhenti sekejap sebab komitmen pada anak. Jadi bila buat cekak merdeka ini, memang kena pandai

bahagikan masa,” kongsinya.

Namun setiap kesukaran itu tidak pernah mematahkan semangatnya.

Malah, beliau bersyukur jualan cekak merdeka ini menjadi salah satu sumber rezeki buat keluarga, terutama setiap kali tiba musim sambutan kemerdekaan.

“Alhamdulillah, cekak ini membantu tambah pendapatan keluarga setiap kali tiba musim.

“Saya tidak pernah sangka idea kecil ni boleh memberi makna yang besar. Walaupun hanya aksesori, ia tetap membawa simbol semangat patriotik.”

Dengan sambutan yang menggalakkan itu, Siti Masnita mahu masyarakat , khususnya generasi muda, terus menghargai erti kemerdekaan.

Baginya, walaupun nampak kecil dan sederhana, setiap usaha untuk menanam rasa bangga terhadap negara perlu diteruskan.

Apabila anak-anak kecil pakai cekak merdeka, mereka bukan sekadar bergaya, tetapi sedang membawa simbol kasih dan cinta pada tanah air.

Baginya, rezeki yang datang pada bulan merdeka ini adalah hadiah tidak ternilai.

Bermula daripada kasih seorang ibu kepada anaknya, kini berkembang menjadi sumber rezeki buat keluarga, malah menyema­rakkan semangat patriotik dalam jiwa rakyat Malaysia.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×