SEREMBAN: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak tiri perempuanya yang berusia 12 tahun pada Jun lalu.
Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman itu terhadap lelaki berusia 45 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori syarikat pembersihan selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Surita memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula dari tarikh tangkap selain perlu menjalani kaunseling pemulihan dan pengawasan polis selama setahun selepas hukuman selesai.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ketika kejadian dengan cara menyentuh payu dara dan kemaluan mangsa bagi tujuan seksual.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 2 pagi di dalam bilik tidur di sebuah rumah di Kampung Tanjung Sena Hulu di Rembau pada 10 Jun lalu.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan suatu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan -kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh juga dihukum dengan sebatan.
Peguam probono, Mohd. Hanif Hassan yang mewakili tertuduh memberitahu, tertuduh bekerja sebagai pemandu lori di syarikat pembersihan dengan pendapatan RM1,700 sebulan serta perlu menanggung tiga anak masih bersekolah manakala isterinya tidak bekerja.
Mohd. Hanif berkata, itu merupakan kesalahan pertama tertuduh dan pengakuan salahnya telah menjimatkan kos serta masa mahkamah.
Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam mengatasi kepentingan tertuduh.
Jelasnya, tertuduh merupakan bapa tiri mangsa dan sepatutnya melindungi mangsa, bukannya mengambil kesempatan melakukan perbuatan jijik. – UTUSAN










