Sindiran politik Syukur Rani - Utusan Malaysia

Sindiran politik Syukur Rani

We Need No Superheroes, pameran solo sulung Syukur Rani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kerancakan senario politik semasa, sama rancaknya dengan kekalutan masyarakat dalam menyesuaikan diri dengan norma baharu dek pandemik Covid-19.

Pelukis, Syukur Rani, 27 menterjemahkan sindiran itu dalam tujuh karya kiasan berunsurkan aksi komik, pada pameran solo ‘We Need No Superheroes’ berlangsung Galeri Suma Orientalis, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Katanya, idea itu tercetus selepas memperlihatkan hubungan antara masyarakat dengan mereka yang memegang kuasa, sepanjang setahun lepas.

“Sewaktu segelintir masyarakat menganggap demokrasi menghampakan kita semua, saya sebaliknya mempersoalkan adakah politik yang telah menghampakan kita? Atau sebenarnya adakah ahli politik?

“Meskipun secara umumnya masyarakat menanti seseorang muncul untuk menyelamatkan kita, tetapi adakah masyarakat lupa bahawa kuasa masih tetap dipegang oleh mereka?,” katanya.

Karya Syukur dalam ‘We Need No Superheroes’, menepati tema karyanya. Watak protagonis dijadikan simbolik di mana ahli politik sering dilihat sebagai penyelamat dan disanjung tinggi dengan penjahat digambarkan penuh keji.

“Meskipun begitu sepertimana setiap manusia, adiwira juga mempunyai sisi gelapnya tersendiri, manakala penjahat pula mungkin ada alasan kukuh disebalik agenda mereka,” katanya.

Pemegang Ijazah Seni Halus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor bagaikan menyindir ahli politik suka melompat dalam karya pahlawan katak. ‘Menang kita stay, kalah kita lompat’ dilihat jelas pada tulisan atas kanvas lukisan itu. Ada juga lembaga memakai tali pinggang tertera ‘SPR’ yang beliau rujuk sebagai Sang Pembawa Rezeki yang sedang memegang ikan. Semuanya jelas kelihatan pedas.

Penggunaan warna-warna primer yang menonjol pada watak protagonisnya, serta berlatarkan pelbagai citra telah menampakkan gaya kreatif Syukur Rani yang bebas dan tidak terikat.

Tipografi dan dialog digunakan, menyerlahkan karya ini. Apa yang jelas, setiap karya pemuda berasal dari Taiping, Perak, ini tidak menampakkan watak protagonisnya yang mudah dijangka, sebaliknya akan menimbulkan pelbagai persoalan.

Komen ringan terhadap sindiran politik tersembunyi dalam idea tentang senario sosio politik negara ini. Syukur Rani terkenal sebagai insan seni dengan perspektif dan idea segar dalam portfolionya sebagai pelukis.

Anak sulung daripada dua beradik ini meminati dunia seni sejak di bangku sekolah. Malah beliau kerap menampilkan hasil seninya dalam beberapa pameran lukisan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

Terkenal dengan hasil seni berkonsepkan pop surrealism. Gaya lukisannya unik ­dengan imej herot yang lucu.

Pelukis muda ini juga adalah pemenang Pilihan Juri dalam MIDF Art Awards (Kuala Lumpur, Malaysia, 2017) dan mendapat tempat ketiga dalam ‘Doodle Competition’ (Mission of Art, Brainspot Space, Selangor, Malaysia, 2017).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×