URA langgar Perlembagaan, Pemuda Pas anjur himpunan aman esok

URA langgar Perlembagaan, Pemuda Pas anjur himpunan aman esok

MOHD. HAFEZ SABRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemuda Pas membantah pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, di Dewan Rakyat yang disifatkan bertentangan dengan prinsip Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Ketua Pemuda Pas, Mohd. Hafez Sabri berkata, malah RUU berkenaan turut bercanggah dengan Kanun Tanah Negara, Akta Hakmilik Strata dan Akta Pengambilan Tanah.

“Sebagai contoh, tafsiran mengenai Pihak Berkuasa Negeri di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan meletakkan kuasa pada Menteri kerajaan tempatan, bukannya Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan

Menurut beliau, isu utama ialah ambang persetujuan yang tidak munasabah, apabila cadangan meletakkan kadar 70 peratus bagi bangunan berusia lebih 30 tahun adalah lebih rendah berbanding piawaian ditetapkan Hong Kong dan Singapura.

“Singapura menetapkan kadar minimum 80 peratus manakala Hong Kong pula 90 peratus. Malah, beberapa Ahli Parlimen kerajaan menuntut ambang persetujuan itu dinaikkan kepada 85 peratus demi melindungi pemilik rumah kos rendah,” katanya.

Mohd. Hafez berkata, penolakan itu bukan hanya datang daripada barisan pembangkang Perikatan Nasional (PN), bahkan perkara ini turut disuarakan beberapa wakil rakyat daripada blok kerajaan sendiri.

“Selain itu, Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Infrastruktur, Pengangkutan dan Komunikasi melalui surat bertarikh 20 Ogos 2025 menggesa bacaan kali kedua ditangguhkan sehingga semua isu libat urus berbangkit dapat diselesaikan,” katanya.

Mohd. Hafez berkata, Pemuda Pas Malaysia mengadakan himpunan aman di pekarangan Parlimen pada esok sebagai bantahan terhadap bacaan kali kedua RUU, Pembaharuan Semula Bandar tersebut.

“Pemuda Pas Malaysia menuntut agar kerajaan tidak meneruskan pembentangan RUU ini kerana ia membuka ruang penindasan secara halus terhadap rakyat, khususnya golongan miskin bandar,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×