Pedofilia: Hukuman lebih berat terhadap individu terlibat

Pedofilia: Hukuman lebih berat terhadap individu terlibat

SIRAJ JALIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu terlibat dalam penjualan atau pengedaran ba­han pornografi sekiranya ia membabitkan eksploitasi kanak-kanak atau ele­men pedofilia.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, ini kerana perbuatan itu dianggap sebagai jenayah ber­lapis yang mengancam kese­jahteraan sosial serta merosakkan moral masyarakat.

Katanya, pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang mula berkuat kuasa awal tahun ini te­lah memperkukuh peruntukan Seksyen 233 dengan memasukkan tafsiran jelas berkaitan ke­salahan itu.

Sebelum ini undang-undang hanya memberi fokus pada kandungan berbaur jelik atau sumbang, namun pindaan terbaru memperluaskan tafsiran dengan kategori ‘jelik melampau’, merangkumi pornografi digital dan kandungan pedofilia.

“Pindaan itu beri kesan langsung kepada pemberi per­khidmatan aplikasi kandu­ngan (CASP) dengan meletakkan tanggungjawab perundangan lebih jelas bahawa mereka tidak boleh menjadi saluran atau fasilitator kepada sebarang bentuk penjualan bahan pornografi.

“Ini bermaksud, selain individu, pihak penyedia platform juga boleh dikenakan tindakan jika gagal mengawal kandungan berkenaan.

“Lebih penting, mangsa atau keluarga mangsa punyai ruang untuk mengambil tindakan sivil terhadap pelaku sekali gus memperluas akses kepada keadi­lan,” katanya.
Kelmarin, akhbar ini mela­porkan, amaran keras diberikan kepada mana-mana pihak yang terlibat dalam penjualan video pornografi berikutan pindaan Akta 588 yang berkuat kuasa sejak April lalu.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, pindaan itu turut menjadikan penjualan video berunsur pornografi sebagai jenayah yang boleh ditangkap.

Siraj berkata, penguatkuasaan undang-undang terhadap penjualan video pornografi di ruang digital kini dilaksanakan melalui pendekatan multi-agency melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta pihak berkuasa lain.

Bagi platform tertutup se­perti WhatsApp dan Telegram, penguatkuasaan bergantung pada laporan awam, operasi penyamaran serta pemantauan berterusan terhadap kumpulan atau saluran yang dikenal pasti menjual atau menyebarkan bahan terlarang.

“Sementara itu, bagi laman web dan platform terbuka, tindakan boleh diambil melalui peruntukan pelesenan, sekatan akses serta penghapusan kandungan dengan kerjasama penyedia perkhidmatan internet.

“Lebih penting, pindaan ini membolehkan polis terus bertindak dengan kuasa tangkapan tanpa perlu menunggu proses yang panjang sekali gus memastikan penjualan pornografi dalam talian dapat dibanteras lebih efektif,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×