KUALA TERENGGANU: ‘Pasar Bunian’ di Kampung Kubang Lembek di Manir, di sini yang sudah berusia lebih empat dekad menjadi sebahagian daripada memori kolektif masyarakat sekitarnya.
Terletak kira-kira 17 kilometer dari pusat bandar ini, Pasar Bunian bukan sekadar destinasi membeli-belah mingguan sebaliknya menjadi simbol kehidupan kampung dan tradisi lama yang masih kekal walaupun dunia semakin pantas berubah.
Suasananya masih kekal seperti tahun-tahun awal ia dibuka sekitar 1984 dengan gerai kayu terbuka dan beratap zink tanpa papan tanda besar mahupun binaan moden yang mencacatkan wajah tradisinya.
Bangunan pasar ini pula masih mengekalkan struktur kayu dan susun atur gerai seperti zaman dahulu. Bumbungnya yang rendah, lantainya hanya tanah merah tanpa simen dan deretan bangsal kayu menjadi latar pemandangan yang semakin sukar ditemukan di era pasar moden.
Setiap pagi Jumaat, kawasan ini bertukar wajah dengan dipenuhi aroma kuih-muih tradisional dan bau kopi kampung yang baru dibancuh bercampur dengan riuh suara peniaga melaungkan jualan. Di sinilah medan mencari rezeki bertemu dengan ruang pertemuan sosial.
BERNIAGA CARA LAMA
Keunikan ini memikat hati bukan sahaja penduduk setempat malah pelancong domestik yang mahu merasakan suasana berniaga cara lama. Ramai turut menyifatkan pasar ini seperti kapsul masa yang mengembalikan mereka ke era 80-an.
Tiada unsur mewah seperti pasar lain tetapi keaslian dan keramahan menjadi daya tarik utamanya. Di kiri kanan laluan, tersusun gerai menjual sayur kampung, ikan segar dan lauk-pauk tradisional hingga kuih lama seperti bingka ubi, cucur badak serta tapai berbungkus daun getah yang semakin jarang ditemukan di pasar bandar.

ASAL TAPAK TANAH PUSAKA ADIK BERADIK
Pengerusi Markas Tarbiah Kubang Lembek, Ahmad Puteh, 71, atau lebih mesra dikenali sebagai Haji Aziz adalah antara perintis pasar ini dan sehingga kini masih setia menyelia operasi pasar setiap minggu.
Katanya, tanah tapak pasar itu merupakan tanah pusaka miliknya bersama adik-beradik yang pada mulanya hanya digunakan sebagai kawasan lapang dan selepas berbincang dengan keluarga, mereka sepakat menjadikannya lokasi jualan makanan pagi setiap Jumaat.
“Kami fikir rugi kalau dibiarkan, jadi kami mula dengan beberapa gerai kecil untuk jual makanan pagi. Alhamdulillah, sambutan dari mula memang luar biasa,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini.
Beliau berkata, pada awalnya hanya ada kurang 10 peniaga namun dari tahun ke tahun, bilangan itu meningkat sehingga kini mencecah lebih 50 peniaga tetap.“Kami buka dari pukul 7 pagi hingga 11 pagi dan pengunjung boleh mencecah sehingga 400 hingga 500 orang. Kalau musim cuti sekolah, jumlah boleh mencecah lebih 1,000 orang,” ujarnya.
Katanya, walaupun ada cadangan membangunkan fasiliti baharu dengan struktur moden, mereka sebulat suara menolak kerana mahu mengekalkan identiti pasar lama.
SEBATI DENGAN KEHIDUPAN PENIAGA, PENDUDUK SEKITAR
Sementara itu, bagi Abdul Kadir Abdullah yang tinggal di kampung berkenaan sejak kecil, dia melihat sendiri perubahan pasar tersebut daripada hanya beberapa gerai hingga menjadi sebutan ramai.
“Ketika pasar ini dibuka, saya di sekolah menengah. Dulu tidak sampai 10 gerai, sekarang penuh kiri kanan jalan. Suasana di sini memang susah nak dapat di tempat lain. Peniaga pula semua orang kampung sekitar Manir, jadi kita kenal hampir semua,” katanya.
Bagi Yusoff Abdullah yang sudah menjual air balang dan apam balik di pasar itu sejak 1990-an, Pasar Bunian menjadi sebahagian daripada kehidupannya.
Katanya, pendapatan berniaga di pasar itu yang menampung perbelanjaan dan membantunya membesarkan anak-anaknya sehingga kini mereka dewasa.
Sementara itu, Chik Yunus, 36, yang berniaga sejak remaja berkata, pasar itu sudah sebati dengan kehidupannya.
“Dulu saya menjual di sini dengan menaiki basikal setiap minggu, bawa kuih dalam bakul besar. Pagi-pagi sudah kayuh dari rumah. Sekarang giliran anak pula menghantar saya dengan kereta, tetapi kuih yang saya jual tetap sama macam dulu,” tambahnya.
UNIK, TULAR
Pasar ini bukan sahaja menerima kunjungan penduduk sekitar, malah turut menarik perhatian golongan muda yang mencari sesuatu yang unik dan tular dalam media sosial. Ada yang datang untuk merasai sendiri suasana pasar kampung yang jarang ditemukan ada ada yang sekadar ingin bergambar serta berkongsi pengalaman di laman maya.
Farahdilla Nadia, 25, misalnya sanggup memandu dari Gong Badak iaitu hampir 25 kilometer selepas tertarik dengan video Pasar Bunian yang tular.
“Bila sampai di sini, memang dapat rasa suasana seakan zaman dulu yang pernah saya tonton dalam filem-filem lakonan Tan Sri P. Ramlee sebelum ini. Suasananya tenang, peniaga semua ramah dan barangan yang dijual pun unik. Bagi saya tempat ini patut dipulihara supaya generasi akan datang masih dapat menikmatinya,” katanya.-UTUSAN.










