LARUT PAGI. Pukul 3. Fajar belum pun menyingsing.
“Terima kasih, encik-encik bomba. Tidak pernah jelak menyahut panggilan hatta pada dinihari, demi merealisasikan “Cepat dan Mesra”. Ini kali kelima abang-abang bomba menjenguk ke reban saya.”
Aku menyalami setiap seorang abang sado berenam yang telah berjerih perih menuang keringat. Kesemua mengangguk dan menghulur senyum mesra membuktikan bahawa mereka tidak pernah menolak upaya untuk berbakti.
Seekor lagi ayam penelurku yang berusia lima bulan masih berada di dalam perut ular sawa itu. Benarlah kata orang, ‘macam ular sawa kekenyangan’. Tidak berkutik sedikitpun setelah menelan mangsa.
Tidur malamku terganggu namun itulah resam yang perlu kuhadapi.
“Saya dahulukan dengan kata maaf. Tiada basa basi. Pihak pengelola sekolah beranggapan khidmat cikgu di sekolah ini kini mencapai titik akhir.”
Perlahan namun jelas dan tegas, suara pengetua, menuturkannya sembari menatap pandang ke wajahku. Mungkin sedang menebak reaksiku. Mungkin juga tertumpah rasa simpati.
Menyedari bahawa kita tidak mampu mengukir takdir dan Dialah Yang Maha Perancang, Kun Fayakun, aku tidak menunjukkan riak balas. Sebaliknya menghulur senyum tipis yang kelat. Sesuatu yang sudah terduga, meski mengusik jiwa, namun jika itu ketentuan-Nya aku wajib akur.
“Saya faham Puan, lagipun saya sudah sepatutnya mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada pihak pentadbiran sekolah. Tiga tahun kontrak khidmat saya disambung walaupun melepasi usia emas.”
Tidak pernah dipagut kecewa mahupun hampa, malahan sentiasa bersyukur pada Ilahi. Kemelut PKP dahulu, lantaran Covid, kontrak kerja kami, selaku guru senior tetap disambung. Walau hanya mengajar menerusi atas talian namun segala manfaat dan ganjaran tetap dilunasi sewajarnya. Jadi, nikmat Tuhan yang manakah akan aku dustai?
“Itulah, andai kau terus bekerja dengan kerajaan dulukan sekurang-kurangnya sudah boleh dapat pencen bulanan macam yang lain-lain?” Omelan cikgu Fadil menuntut reaksi balas, namun aku biarkan.
“Cikgu-cikgu yang pencen sekarang semua senang, tanpa sumbangan produktiviti dan energi, sara hidup bulanan tidak putus. Berehat sahaja,” ujarannya menguak sedikit tenang di kolam rasaku.
“Abang tak rasa buat keputusan yang silapkah sewaktu meletakkan jawatan sebagai cikgu kerajaan dulu untuk masuk ke sekolah swasta, tiada pencen? Seorang lagi rakan setugas menguji kewarasanku dengan soal tanya yang santai namun menikam benak.
“Tidak Zack.” Aku polos dan tegas. Langit pasrah sentiasa hadir dalam dadaku.
“Jalur takdir Allah antara kita hamba-Nya, tidak pernah senada. Qada’ dan Qadar telah menentukan isteri abang sakit buah pinggang. Hampir 16 tahun dialisis.” Mata dan simpul senyumku menyapa ke wajah cikgu muda di hadapanku. Petualangan hidup insan tidak pernah serupa.
“Dalam tempoh itu sudah lebih kurang lima kali dia operation berkait penyakitnya. Total jika tunggang terbalik lebih RM150,000 kos pembedahan yang ditanggung oleh insurans sekolah. Belum masuk abang sendiri sudah banyak kali menginap di wad. Kita bukan sihat selamanya. Rasa-rasanya kalau meneruskan khidmat dengan kerajaan dahulu, berpeluangkah merasa berbaring di
hospital swasta dengan fasiliti yang sangat selesa dan imbalan yang sebegitu mahal?” Aku menduga akal logikanya.
“Pertama kali disahkan sakit, isteri abang koma di hospital kerajaan Kuala Lumpur, 10 hari. Sedar sahaja, pembedahan bina tapak di lengannya tidak dapat dijalankan asbab pesakit terlalu ramai dan doktor terhad. Dia orang suruh datang semula sebulan kemudian hanya untuk dapatkan tarikh janji temu yang baharu sahaja bukan operasi lagi…”
Dahinya berkerut, ada cengang, “Oh ya?”
“Kemudian kami terus beredar ke sebuah hospital swasta di Klang. Hari yang sama. Appointment pukul 8 esoknya. Rehat sekejap di wad. Tepat 8.30 masuk bilik operasi. Sejam kemudian, disorong keluar. Ambil nafas dan rehat sekejap, doktor pun persilakan pulang tapi kosnya RM11,000. Insurans sekolah bayar!”
“Apa lagi yang kami harapkan?”
“Dan begitulah seterusnya setiap bertukar tahun, atau dua tahun berselang, isteri abang harus jalani pembedahan yang bermacam-macam jenis dan sebab pula. Kami berpindah dari sebuah ke sebuah premis hospital elit, ikut keperluan. KPJ, Sunway Subang, Ara Damansara, Columbia Asia dan Hospital Pantai. Paling murah RM23,000 paling mahal ada yang pernah sampai RM32,000 sekali operate”. Aku meneruskan tanpa diminta.
“Hakikatnya, bukan memperleceh atau pandang sengkek pada hospital kerajaan, kita sedia maklum kekangan dan hambatan namun kalau untuk temujanji sahaja makan berbulan…pesakit mana yang mampu bermain dengan masa…..?”
Justeru, sesalan dan rungutan tidak pernah singgah dalam fikiran. Malahan insaf betapa tidak terhitungnya nikmat Tuhan yang telah dikurniakan sejak belasan tahun lepas. Kita tidak mampu mencipta takdir. Dan takdir manusia tidak pernah seragam. Sebaik bersara, melihat ramai sahabat dan saudara-mara yang menikmati pencen setelah berpuluh-puluh tahun bekerja, kami tidak secuit pun rasa terkilan kerana itu rezeki masing-masing yang sudah termaktub di azali.
“Duit EPF mesti berjuta kan mengajar di sekolah swasta?” seorang rakan jemaah masjid mengocak tenang damai di danau hati. Kala itu kami sedang berbuka puasa dan dia teruja apabila mendengar aku adalah bekas guru sekolah swasta berstatus antarabangsa.
Meski agak kurang selesa dan rasa tersiniskan (bukan disakiti), namun jolok tanyanya, tetap aku sambut denan suara yang sedikit bergetar. Mungkin memang dia naif orangnya.
“Mana datang simpanan berjuta-juta? Kalau gaji guru sudah berjuta…yuran sekolah budak berapa ratus ribu pula sebulan untuk bayar gaji guru?” Spontan, jawabanku membungkamkannya.
Sekurang-kurangnya dia perlu sedar, sifir kiraannya tidak semudah memetik a, b, c.
Apa dipetik bunga larangan, Harumnya cuma sebentar sahaja, Apa didengar kata sindiran, Usah difikir buat terasa.
Menyesal untuk apa? Langit bukan sentiasa cerah dan pada satu-satu masa yang lain akan suram dan mendung. Hujan turun pun tidak pernah mengira masa. Koleksi dinar emas yang ku kumpul berdikit-dikit sejak beberapa tahun, ku lepaskan. Mujur ada juga ingatan untuk beringat-ingat meskipun tidak membukit. Aku selesaikan hutang ansuran kereta RM12,000. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya masih punya tunggangan untuk menyahut seruan azan ke rumah-Nya.
Usai menggali ilmu di Kitchen Garden, Batu 10 Lekir, Perak terus tukang kupanggil untuk membinakan reban. 5 x 10 kaki untuk Lohman Brown x 2 buah. 13 x 5 kaki untuk ayam Rhode Island Red. 13 x 5 kaki untuk ayam Arab. 35 x 17 kaki reban untuk isteri menternak itik dan angsanya.
Dan sebuah lagi berukuran 12 x 10 kaki untuk menempatkan ayam kacuk. Jumlah kesemua RM12,000 tidak termasuk ‘brooder’ bagi menempatkan anak-anak ayam yang baru menetas. Bukan untuk sara hidup, sekadar merintang waktu dan beraktiviti , ujarku yakin saat ditanya oleh sesiapa sahaja.
Lalu, ruang masa bersaraku menjalani rutin harian dengan memberi makan dan minum dan membersihkan reban ayam yang sangat mengujakan. Angan-angan menjadi penternak berjaya kerap bergentayangan di minda. Angan-angan kan percuma!
Cukup tempoh, ayam-ayam penelur mulai mengeluarkan hasil. Ayam kacuk pun sudah boleh dituai. Siapa yang tidak terpesona?
“Kami boleh ambil ayam encik, tetapi tidak mampu letak harga tinggi. Sekilo 11 ringgit, itupun sudah kira tinggi biasanya antara 9 ke 10 ringgit sahaja…”, empunya pusat penyembelihan ayam menjelaskan. Kecewa namun tiada pilihan.
“Memanglah harga di pasaran lebih 18 ke 20 ringgit sekilo, tetapi sesiapa pun yang berniaga kena fikir untung rugi. Kos pengurusan bukan kaleng-kaleng.” Puan Juliana menegaskan. Awan berkelabu dalam langit fikiranku.
Menghitung kos dedak dan penjagaan ayam berbulan-bulan, tidak setimpal. Jelas. Namun pilihan apa yang kita ada apabila terhimpit antara melepaskan atau menyimpan terus-terusan. Teori ekonomi menggugah bahawa penawaran bergantung kepada permintaan. Dan itulah hakikat penternak kecil yang bergantung kepada pembeli satu pihak sahaja.
“Harga promosi, telur ayam ini kami jual 30 sen sebiji. Aku menyua, polos.
“Mana boleh,” encik Hamdan jurulatih penternakan ayam yang mengajar kami ilmu menternak, membalas di WhatsApp kumpulan.
“Murah sangat itu cikgu, harga pasaran 80 sen.
“Di kawasan kampung, harga mahal orang tolak.”
Memang pun sebaik harga dinaikkan ke 50 sen pelanggan mula lari. Kesugulan menyinggah, namun mujur cepat sedar dan beristighfar. Ini hobi, bukan hendak kaya. Sekurang-kurangnya dijadikan buah tangan kepada tetamu yang bertandang ke rumah.
“Kos dedak dan ubatan ayam-ayam itu kena kira juga bang, semuanya melibatkan duit,” isteri mengingatkan.
“Bersedekah, sedekahlah juga…” Termenung. Simpanan kian menyusut. Penghasilan tidak meriah.
Petang itu aku menjelajah ke segenap reban; 6 ekor ayam Arab. 25 ekor ayam Lohman Brown, 50 ekor itik dan 6 ekor angsa di samping ayam kacuk 50 ekor. Apa sekarang? Berhenti atau teruskan? Ayam-ayam dan itik ada sebilangan yang mati bahana dibelit ular. Belum masuk tikus, musang dan biawak serta lotong yang mengganggu ayam-ayam yang sedang membesar dan bertelur. Teruskan atau tidak?
Iseng-iseng petang hari usai memberi makan ayam-ayam dan ternakan lain, aku menatal muka buku. Daripada “Grup Ayam Penelur” ada pertanyaan.
“Saya berminat membela ayam penelur. Bolehkah otai-otai di sini beri panduan?”
Aku bingkas menyusun aksara lalu membalas pantas;
“Pertama, luaskan cakrawala ilmu tentang ayam dan teknik peliharaan. Setiap jenis ayam tidak sama dan berbeza cara menjaganya.
“Hadiri kursus formal dan Google sahaja atau rujuk di YouTube atau di TikTok. Banyak panduan di sana.
“Yang penting pastikan matlamat anda tepat dan jitu. Untuk hobi sahajakah atau untuk jualan bagi menambah pendapatan? Jika mengharap untuk jadi kaya, lupakan!
“Perlu ingat, harga dedak ayam kian meroket bukan menurun. Belum kos bina reban, ubatan dan tenaga kerja”.
“Sejujurnya, usah dikira untung dan rugi. Jalan terus!”
Sekejapan dapat lebih 100 likes atas komen itu. Pertanyaan yang lain pula menerobos masuk: “Bagaimana mahu menjimatkan kos dedak ayam?”
Malam. Ketika sedang bersantai usai solat Isyak. Bunyi deringan.
“Hello, ini Cikgu Zul kah?” Suara di hujung corong menyapa.
“Saya pemilik warung tomyam di Jeram, Selangor. Saya hendak dapatkan bekalan telur ayam organik seberapa banyak pun yang cikgu ada setiap minggu secara tetap”.
Masya Allah. Alhamdulillah. Terima kasih Allah atas nikmat rezeki ini. Sungguh bukan alamat yang salah, hanya masa baru tiba.
“Tuan ada bela ayam kacuk kan?” Pemborong di Sekinchan pula menanya.
“Berapa tuan jual setiap seekor?”
“Sekilo RM18 sahaja.”
“Ok. Saya hendak beli kesemua, ayam matang.”
Sebaik melepaskan telefon genggam itu aku bangun menuju ke bilik air untuk berwuduk. Aku ingin sujud syukur.
Keesokan harinya, mentari pagi baru memancarkan sinarnya. Langit cerah seterang hatiku yang berbunga syahdu. Ada rezeki yang menunggu. Namun, langkahku terhenti. Jantung tidak berdegup. Kesemua ayam dan itik dalam reban tiada lagi! – UTUSAN










