PETALING JAYA: Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail) akan melanjutkan operasi Stesen Masjid Jamek dan Pasar Seni sehingga pukul 1 pagi pada 23 dan 24 Ogos ini sempena program Malam Himpunan Selawat Malaysiaku Bersama Gaza di Dataran Merdeka yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rapid Rail dalam kenyataannya memaklumkan, lanjutan operasi itu hanya melibatkan dua stesen berkenaan manakala stesen-stesen lain akan ditutup seperti biasa.
Namun katanya, penumpang masih boleh keluar di semua stesen lain untuk meneruskan perjalanan pulang.
“Para penumpang digalakkan untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi perjalanan yang lebih lancar dan mengelakkan kesesakan ketika masuk dan keluar stesen.
“Bagi yang menggunakan token, disarankan agar membeli token pergi dan balik lebih awal sebelum meninggalkan stesen,” katanya.
Menurut Rapid Rail, pihaknya juga akan menempatkan kakitangan tambahan di lokasi strategik bagi membantu pergerakan penumpang dan memastikan aliran trafik di dalam stesen berjalan lancar.
“Penumpang yang memerlukan bantuan digalakkan untuk mendapatkan pertolongan daripada petugas stesen.
“Penumpang juga disarankan untuk mengikuti media sosial Rapid KL dan memuat turun aplikasi PULSE Rapid KL bagi merancang perjalanan mereka dengan lebih mudah,” katanya. – UTUSAN








