PARLIMEN: Perkhidmatan rel dipanjangkan sepanjang bulan Ramadan - Utusan Malaysia

PARLIMEN: Perkhidmatan rel dipanjangkan sepanjang bulan Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn. Bhd. (RRSB) akan memanjangkan waktu perkhidmatan rel pada waktu puncak bagi menampung corak penggunaan pengguna sepanjang bulan Ramadan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, waktu puncak pagi akan dipanjangkan bermula pukul 6.30 pagi hingga 9.30 pagi berbanding pukul 7 pagi hingga 9.30 pagi pada bulan biasa.

“Manakala waktu puncak petang dipanjangkan dari pukul 4 petang hingga 8 malam iaitu empat jam berbanding pukul 5 petang hingga 7.30 malam pada bulan-bulan lain.

“Langkah ini bagi memastikan kelancaran perkhidmatan rel, meningkatkan keselesaan penumpang dan menjamin kecekapan operasi.

“Ia bertujuan mengurus pergerakan penumpang pada waktu perjalanan pulang awal untuk persediaan berbuka puasa,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) mengenai sama ada waktu puncak perkhidmatan Rapid Rail akan diubah bersempena bulan Ramadan yang menyaksikan perubahan pola pergerakan dan sekiranya ada, waktu puncak baharu yang ditetapkan.

Selain itu, Anthony Loke berkata, Rapid KL mempunyai kesiapsiagaan sepanjang masa, bukan sahaja pada Ramadan malah pada bulan-bulan lain dengan mengamalkan langkah pencegahan dan pemulihan.

“Ia bagi memastikan penyelenggaraan dilakukan secara berkala kepada sistem dan tren supaya operasi berjalan sepanjang masa untuk mengurangkan kebarangkalian berlakunya gangguan teknikal,” katanya.

Beliau turut mengakui gangguan teknikal sukar diramal dan dibendung kerana isu teknikal boleh berlaku pada bila-bila masa.

Katanya, Rapid KL turut menempatkan kakitangan teknikal di dalam tren sebagai langkah bersiap sedia sekiranya berlaku gangguan supaya tindakan mitigasi dapat dilaksanakan dengan cepat dan berkesan.

“Apa sahaja gangguan perlu diminimumkan bagi memastikan kesan kepada pengguna dapat dikurangkan dan Prasarana Malaysia Berhad telah mengambil pelbagai langkah untuk memastikan gangguan ini dapat diminimumkan.

“Pengurusan di pihak stesen juga telah diberikan latihan supaya kawalan terhadap pengurusan penumpang dapat dilakukan dengan baik sekiranya berlaku gangguan, sekali gus mengurangkan kesesakan di stesen-stesen,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×