KUALA LUMPUR: Dua beradik mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah wang berjumlah RM106,000 milik sebuah syarikat pembinaan, dua tahun lalu.
Di hadapan Hakim Izralizam Sanusi, tertuduh Hew Shin Yin, 44, yang bertugas sebagai akauntan didakwa melakukan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM6,000 di Jalan Ampang pada 17 November dan 15 Disember 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di hadapan Hakim Azrul Darus, adiknya, Shin Hua didakwa melakukan pecah amanah wang syarikat sebanyak RM100,000 di lokasi sama pada 29 November dan 30 Disember 2023.
Pertuduhan terhadap wanita yang sedang mengandung itu dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun serta sebatan selain boleh dikenakan denda.
Shin Yin dibenarkan diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan diperintahkan untuk melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.
Shin Hua turut diberikan jumlah jaminan sama dan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 29 September ini untuk sebutan semula kes kedua-dua beradik itu.
Di Mahkamah Majistret pula, rakan sekerja mereka, Lee Teik Seng, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencuri wang syarikat sama berjumlah RM71,921.95 di Jalan Ampang, antara 5 Oktober 2023 dan 31 Mac lalu.
Tertuduh yang bekerja sebagai pegawai pentadbiran didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Majistret Atiqah Mohamad @ Mohamad Saim membenarkan Tiek Seng diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri ke balai polis berdekatan setiap bulan.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 Oktober ini untuk sebutan semula kes Teik Seng.
Pendakwaan bagi ketiga-tiga kes dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Wafa Zainal Abidin, Faizah Khalilah Zaberi dan Nurainizatul Farhana Zainal, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, Cheow Wee dan Zarchary Yeo. – UTUSAN










