Pengasuh menangis selepas didakwa menyebabkan kematian bayi

Pengasuh menangis selepas didakwa menyebabkan kematian bayi

NOR Fatihah (dua kanan) hadir ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini dilihat menangis selepas selesai prosiding.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pengasuh didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah taska, Mei lalu.

Tertuduh, Nor Fatihah Abdul Rahim, 24, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.

Mengikut pertuduhan, Nor Fatihah yang ketika itu bertugas sebagai pengasuh taska didakwa gagal menyediakan pengawasan dan pemeliharaan berpatutan sehingga menyebabkan kematian bayi berusia tujuh bulan sembilan hari.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Wangsa Maju, di sini pada 11.08 pagi, 26 Mei lalu. 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 33(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abdul Latip memohon mahkamah tidak menawarkan jaminan. 

“Jika diberi jaminan, ada kemungkinan tertuduh melarikan diri. Sekiranya mahkamah mengenakan jamin, mohon jaminan lebih RM30,000 dikenakan ke atas tertuduh kerana melibatkan kematian bayi,” katanya. 

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu dalam nada sebak supaya jaminan diringankan dengan alasan menanggung ayah yang menghidap penyakit saraf, selain mempunyai komitmen untuk berkahwin hujung tahun ini.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan syarat tambahan melapor diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai, menyerahkan pasport dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 September ini.

Selesai prosiding, Nor Fatihah dilihat menangis sambil dipeluk ibunya ketika keluar dari kandang tertuduh.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Syahrul Anuar Abdul Wahab mengesahkan bayi itu meninggal dunia akibat tersedak susu berdasarkan laporan bedah siasat. 

“Punca kematian bayi terbabit disebabkan kekurangan oksigen disebabkan oleh makanan atau susu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×