TAWAU: Seramai 13 pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu hari ini didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi Tawau atas tuduhan membunuh rakan sekolah mereka, Nazmie Aizzat Mohd Narul Azwan, 17 tahun.
Hakim Datuk Duncan Sikodol dalam penghakimannya berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34.
Mereka dituduh bersama-sama membunuh Mohamad Nazmie Aizzat, 17, di bilik asrama kolej berkenaan pada pukul 9 malam 21 Mac hingga 7.38 pagi 22 Mac tahun lalu.
Kesemua tertuduh tiba di perkarangan Mahkamah Tawau pada jam 8.28 pagi Jumaat, dengan ahli keluarga masing-masing hadir bagi mendengar keputusan kes berprofil tinggi itu.
Hakim menetapkan tarikh 28 Ogos 2025 untuk prosiding hukuman selepas laporan sosial terhadap 13 pesalah berkenaan diperoleh daripada pegawai kebajikan Jabatan Kebajikan Masyarakat Lahad Datu.-UTUSAN










