Netanyahu akui Israel perlu ‘bekerja keras’ raih sokongan Gen Z - Utusan Malaysia

Netanyahu akui Israel perlu ‘bekerja keras’ raih sokongan Gen Z

BENJAMIN NETANYAHU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengakui negara haram itu perlu berusaha lebih keras memenangi hati golongan muda di negara-negara Barat, khususnya Generasi Z susulan kejatuhan mendadak sokongan terhadap Israel berdasarkan beberapa tinjauan pendapat terkini.

“Jika anda beritahu saya ada kerja yang perlu dilakukan dalam kalangan Gen Z dan di seluruh Barat, ya,” katanya dalam wawancara bersama podcast berpengkalan di United Kingdom (UK), Triggernometry.

Beliau mendakwa penolakan terhadap Israel dalam kalangan Gen Z adalah sebahagian daripada kempen lebih besar yang menolak nilai-nilai Barat.

Beliau turut mengulangi dakwaan tidak berasas bahawa terdapat satu komplot terancang terhadap Israel dan negara-negara Barat tanpa menyatakan siapa dalang di sebalik konspirasi itu.

Kenyataan Netanyahu hadir ketika protes menentang tindakan Israel di Gaza terus meningkat di ibu negara Barat, disertai ribuan anak muda yang membantah serangan tentera Israel.

Satu tinjauan Gallup baru-baru ini menunjukkan hanya enam peratus warga Amerika Syarikat (AS) berumur antara 18 hingga 34 tahun yang berpandangan positif terhadap Netanyahu, manakala hanya sembilan peratus menyokong tindakan ketenteraan Israel di Gaza.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Israel pada Rabu meluluskan rancangan penaklukan kota Gaza dan memberi lampu hijau untuk mengerahkan kira-kira 60,000 tentera simpanan, menambah tekanan terhadap kumpulan pejuang Palestin, Hamas ketika rundingan gencatan senjata masih berjalan.

Dalam wawancara sama, Netanyahu turut memuji Presiden AS, Donald Trump yang kembali ke Rumah Putih pada Januari lalu dengan menyifatkannya sebagai ‘sahabat sejati’ Israel dan pemimpin yang luar biasa.

“Saya rasa kita sangat bertuah kerana mempunyai seorang pemimpin di AS yang tidak bertindak seperti pemimpin-pemimpin Eropah iaitu tunduk kepada tekanan ini,” katanya, merujuk kepada negara seperti Perancis dan UK yang berikrar akan mengiktiraf negara Palestin. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×