Kesihatan mental penuntut universiti dikaji

Kesihatan mental penuntut universiti dikaji

ZAINAL Amin Ayub ( tiga dari kanan) merasmikan 3rd Malaysian Universities National Health Convention (MUNCH) 2025 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kuala Nerus, Terengganu.- UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA NERUS: Kajian komprehensif berhubung kesihatan mental dalam kalangan penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara sedang dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap kesejahteraan emosi dan tekanan yang dihadapi mereka.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik Dan Penyelidikan), Prof. Dr. Zainal Abidin Ayub berkata, kajian selama sembilan bulan yang bermula awal tahun ini dijangka selesai bulan depan.

Katanya, kajian itu bertujuan membantu kementerian merangka dasar dan inisiatif yang lebih berkesan dalam menangani isu kesihatan mental pelajar selaras dengan keperluan semasa.

“Dalam dapatan awal, kita dapati jumlah pelajar yang mendapatkan khidmat kaunselor di universiti adalah agak tinggi. Ini menunjukkan kesedaran pelajar terhadap kepentingan mendapatkan bantuan profesional semakin meningkat.

“Namun, kita juga bimbang dengan kemungkinan terdapat pelajar yang memilih untuk memendam perasaan tanpa mendapatkan sokongan sewajarnya,” katanya selepas merasmikan 3rd Malaysian Universities National Health Convention (MUNCH) 2025 di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini hari ini.

Dr. Zainal berkata, hasil kajian itu menjadi asas kepada pelaksanaan program sokongan psikososial yang lebih menyeluruh di IPT.

Menurut beliau, pihaknya juga sedang membangunkan satu kit saringan bagi mengenal pasti tahap kesihatan mental pelajar seawal sebelum mereka mendaftar ke universiti supaya intervensi awal dapat dilaksanakan sekiranya diperlukan.

Katanya, pada tahun lalu, seramai 402 pelajar dirujuk kepada kaunselor yang bersamaan 0.067 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar IPT.

“Angka ini boleh ditafsir dari dua sudut; sama ada tahap kesedaran pelajar terhadap perkhidmatan kaunseling masih rendah, atau secara umumnya kesihatan mental pelajar berada pada tahap yang baik,” katanya.

Sementara itu, konvensyen dwitahunan yang menghimpunkan seramai 140 peserta termasuk kakitangan pusat kesihatan daripada 20 universiti awam serta 20 pelajar dari UniSZA, UMT, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dijangka menjadi platform strategik untuk memperkasa agenda promosi kesihatan dalam kalangan komuniti IPT. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×