GERIK: Berbeza dengan kebiasaan penoreh lain yang ke kebun seawal dinihari, sepasang suami isteri di Kampung Bongor di sini memilih untuk menoreh getah pada waktu malam.
Nor Azurim Mat Isa, 34, dan suaminya, Mohd. Solihi Dzakaria, 38, keluar ke kebun sekitar pukul 11 malam dan selesai menoreh lebih 400 batang pokok getah menjelang pukul 2 pagi.
Menurut Nor Azurim, mereka mula menoreh pada waktu malam sejak Ramadan lalu bagi mengelak kepanasan ketika berpuasa, namun tanpa disangka, hasil torehan malam ternyata lebih banyak berbanding waktu pagi.
“Waktu malam, susu getah boleh penuh satu cawan, pagi cuma setengah. Kami terkejut juga, jadi terus kekalkan rutin ini.
“Lagipun, bila menoreh malam, siang hari saya boleh uruskan anak-anak ke sekolah dan buat kerja rumah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Biarpun kebun terletak jauh dari kampung dan bersempadan dengan hutan, pasangan itu tetap cekal mencari rezeki meskipun Nor Azurim mengakui pernah mengalami pengalaman menyeramkan, namun tidak diendahkan.
“Memang seram, lebih-lebih lagi bila saya menoreh jauh dari suami. Tapi saya kuatkan hati. Kalau dengar benda pelik, buat-buat tak dengar. Kalau nampak, buat-buat tak nampak.
“Cabaran utama mereka kini ialah harga getah yang tidak menentu. Buat masa ini, harga sekitar RM3.20 sekilogram, berbanding RM4.50 semasa Ramadan lalu.
“Sekarang hasil sekitar RM400 seminggu. Memang tak menentu, tapi kerja kami tiga jam sehari saja. Masih berbaloi,” katanya.
Nor Azurim turut aktif di TikTok dengan membuat siaran langsung setiap kali menoreh.
Katanya, Ia bukan sahaja menjadi ruang perkongsian, malah peneman sunyi di tengah malam.
“Saya nak tunjuk realiti hidup orang kampung. Ramai yang tengok siaran langsung, sekurang-kurangnya rasa tak sunyi dalam gelap,” katanya.
Pasangan ini dikurniakan tiga anak berusia sembilan hingga 15 tahun. Selain menoreh, Mohd. Solihi turut mengambil upah memandu lori mengangkut hasil kelapa sawit dan getah bagi menampung keperluan keluarga.-UTUSAN











