Elak Man. United jadi sarkas - Neville

Elak Man. United jadi sarkas – Neville

Pemain pertahanan Arsenal, Riccardo Calafiori (dua dari kiri) meraikan jaringan gol menentang Manchester United dalam aksi Liga Perdana Inggeris minggu lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MANCHESTER: Manchester United perlu segera mencari penjaga gol baharu sebelum jendela perpindahan ditutup bagi mengelak gawang pasukan itu terus dibocori dengan gol-gol mudah.

Legenda United, Gary Neville dan Wayne Rooney berkongsi pendapat yang sama tentang situasi itu selepas The Red Devils tumbang 0-1 kepada Arsenal dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris (EPL), kelmarin.

Dalam aksi di Old Trafford itu, kegagalan penjaga gol, Altay Bayindir mengeluarkan bola membolehkan Riccardo Calafiori menanduk masuk dari jarak dekat untuk gol kemenangan Arsenal.

Ruben Amorim cuba mempertahankan Bayindir dengan mendakwa penjaga golnya dikasari, namun Neville dan Rooney tidak berpuas hati dan mendesak United bertindak sebelum jendela perpindahan ditutup.

Neville mencadangkan dua penjaga gol berprofil tinggi untuk skuad Amorim iaitu Emiliano Martinez (Argentina) dan Gianluigi Donnarumma (Itali) untuk mengukuhkan gawang United.

Martinez, pemenang Piala Dunia bersama Argentina dan penjaga gol utama Aston Villa, dikaitkan dengan perpindahan bernilai 40 juta pound (RM228 juta), namun sehingga kini tiada kata putus tentang masa depannya.

Donnarumma pula diketepikan di Paris Saint-Germain (PSG) oleh pengendalinya, Luis Enrique dan penjaga gol kebangsaan Itali itu dilaporkan berminat berhijrah ke EPL dengan United dan Manchester City menjadi destinasi idaman.

“Ada isu besar yang tak boleh diabaikan. United perlu cari penjaga gol. Sejak era Schmeichel dan Van der Sar, United jadi seperti sarkas dengan keluar masuk ramai penjaga gol. Ia perlu diselesaikan sama ada dengan pembelian tetap atau pinjaman.

“Martinez dan Donnarumma bukan semata-mata yang terbaik di Eropah, tetapi mereka ada personaliti besar dan karakter kuat. Donnarumma pernah jadi wira Itali di final Euro, Martinez pula juara dunia. Mereka sudah biasa beraksi di bawah tekanan besar.

“United perlukan itu (penjaga gol berpengalaman). Saya ulang, kedudukan ini perlukan personaliti, kestabilan dan keyakinan. Kalau tidak, United akan terus bocor dan hilang mata,” kata Neville.

Sementara itu, Rooney lebih memilih Donnarumma kerana usianya masih muda dan mampu beraksi dengan baik.

“Dia baru 26 tahun, salah seorang penjaga gol terbaik dunia. Saya teringat ketika United ada Roy Carroll dan Tim Howard, pertahanan kurang percaya pada mereka. Van der Sar masuk dan semuanya jadi tenang.

“(Andre) Onana penjaga gol hebat, tetapi musim lalu dia tidak beri keyakinan penuh. Donnarumma antara terbaik dunia, memang gila kalau United tak cuba dapatkannya,” kata Rooney.

United ketika ini turut mempertimbangkan membawa pulang David de Gea, 34, yang kini bersama Fiorentina dan mempunyai klausa pelepasan bernilai kecil dalam kontraknya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×