Malaysia catat nilai perdagangan RM265.92 bilion pada Julai

Malaysia catat nilai perdagangan RM265.92 bilion pada Julai

PELABUHAN Tanjung Pelepas.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia merekodkan peningkatan nilai perdagangan sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun kepada RM265.92 bilion pada Julai, dengan eksport melonjak 6.8 peratus kepada RM140.45 bilion.

Prestasi eksport itu adalah yang tertinggi sejak September 2022, sekali gus mencerminkan permintaan global berterusan terhadap barangan Malaysia.

Dalam masa sama, import naik 0.6 peratus kepada RM125.47 bilion, manakala lebihan dagangan berjumlah RM14.98 bilion kekal direkodkan bagi 63 bulan berturut-turut.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) berkata, eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) melonjak hampir RM12 bilion kepada RM63.31 bilion iaitu peningkatan 22.5 peratus berbanding Julai 2024.

“Barangan E&E kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan eksport Malaysia, di samping barangan optik dan saintifik serta makanan diproses.

“Kesemua barangan ini merekodkan nilai eksport tertinggi setakat ini, manakala barangan lain yang turut menyumbang termasuk jentera, kelengkapan dan peralatan serta produk perkilangan berasaskan minyak sawit,” katanya dalam kenyataan. 

Menurutnya, eksport ke semua rakan dagang utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) turut mencatatkan pertumbuhan positif, dengan Taiwan merekodkan nilai tertinggi setakat ini.

“Eksport ke negara-negara rakan dagang Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) juga meningkat, khususnya ke Mexico dan Republik Korea (ROK), disokong oleh permintaan kukuh barangan E&E,” jelasnya.

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, perdagangan, eksport dan import masing-masing mencatatkan nilai kumulatif tertinggi setakat ini.

“Perdagangan meningkat 4.7 peratus kepada RM1.731 trilion tahun ke tahun, dengan eksport naik 4.3 peratus kepada RM900.47 bilion dan import berkembang 5.1 peratus kepada RM830.16 bilion, menghasilkan lebihan dagangan RM70.32 bilion.

“Prestasi ini direkodkan di sebalik semakan semula prospek perdagangan global oleh Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang kini menjangka volum perdagangan barangan dunia pada 2025 berkembang 0.9 peratus, berbanding unjuran awal penguncupan 0.2 peratus.

“Pemulihan sederhana ini dipacu terutamanya oleh peningkatan mendadak import AS pada awal tahun,” ujarnya.

Selain itu, keputusan kerajaan AS mengurangkan tarif balas terhadap eksport Malaysia daripada 25 kepada 19 peratus turut mencerminkan pendekatan diplomasi perdagangan yang berdisiplin oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Kadar tarif baharu ini sejajar dengan kebanyakan rakan ASEAN dan akan terus menyokong daya saing negara.

“Walaupun berdepan cabaran perdagangan global serta tekanan tarif AS, prestasi perdagangan Malaysia yang stabil menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 4.4 peratus pada suku kedua 2025.

“MITI dan Matrade akan terus berwaspada dalam mengurus landskap perdagangan antarabangsa yang dinamik serta ketegangan geopolitik yang semakin meningkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×