Labur RM15,000 jual cenderamata sempena RXZ Member

Labur RM15,000 jual cenderamata sempena RXZ Member

RIFDI Imran Roslin (kanan) bersama Tengku Norhayati Tengku Mansor melihat stok cenderamata yang akan dijual pada program RXZ Member di Kuala Terengganu hujung minggu ini. – UTUSAN/ERMA YUSNIDA JUSOH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Ketika ribuan peminat Yamaha RXZ berkumpul pada acara tahunan RXZ Member hujung minggu ini, seorang pemuda tampil bukan sekadar pemerhati, sebaliknya mengambil peluang berniaga cenderamata bertema motosikal lagenda itu bagi menjana pendapatan tambahan.

Rifdi Imran Roslin, 33, dari Kampung Padang Midin, berniaga cenderamata itu sejak empat tahun lalu dengan konsisten membuka gerai jualan khas pada program dua hari berkenaan.

Peniaga sate itu berkata, untuk edisi kali ini, dia melabur RM15,000 menyediakan pelbagai barangan jualan termasuk cenderamata eksklusif berbentuk patung penyu, iaitu simbol ikonik negeri Terengganu de­ngan sentuhan istimewa.

“Sebanyak 100 patung penyu bercorak batik, 100 patung penyu berwarna-warni dan kira-kira 3,000 unit rantai kunci bertemakan RXZ saya sediakan tahun ini. Semua stok ini disiapkan lebih awal sejak beberapa bulan lalu.

“Setiap tahun memang saya nantikan program ini. Ia bukan sekadar peluang berniaga tetapi platform untuk saya berinte­raksi dengan peminat RXZ dari seluruh Malaysia,” katanya.

Rifdi membuka gerai jualan di Dataran Drawbridge yang saban tahun menjadi tumpuan ribuan pengunjung selain turut memasarkan produknya secara dalam talian.

Mengusahakan perniagaan itu bersama isterinya, Tengku Norhayati Tengku Mansor, 27, Rifdi berkata, produk patung penyu batik adalah keluaran terbaharu tahun ini dan disifatkan sebagai kelainan berbanding sebelum ini.

“Penyu batik ini menggabungkan elemen kebudayaan Terengganu dengan semangat RXZ,” katanya.

Cenderamata berkenaan turut membawa imej dan nilai sentimental terhadap komuniti peminat RXZ yang terkenal dengan semangat setia kawan dan nostalgia zaman kegemilangan motosikal dua lejang itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×