Gubah dawai berbulu jadi bunga raya aksesori kemerdekaan

Gubah dawai berbulu jadi bunga raya aksesori kemerdekaan

SITI Nur Natrah Yatimi Mohd. Azmi menunjukkan bunga raya yang dihasilkan daripada dawai berbulu berwarna-warni di Kampung Gong Duek, Besut, Terengganu. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Mendapat inspirasi daripada penyertaan anak dalam acara pakaian beragam pada setiap tahun, seorang ibu menghasilkan bunga kebangsaan menggunakan dawai berbulu berwarna-warni.

Siti Nur Natrah Yatimi Mohd. Azmi, 36, berkata, idea itu muncul apabila sejak beberapa tahun lalu anak tunggalnya, Nursyifaa Amani Mohd Zaimi, 9, sering mengikuti pertandingan pakaian bertemakan kemerdekaan dan dia cuba membuat kelainan dengan perhiasan sendiri.

“Bunga raya adalah bunga kebangsaan dan ia adalah sesuatu yang perlu kita kete­ngahkan agar anak-anak mengetahuinya. Saya minat belajar membuat krafttangan dan terdetik hati untuk mencuba menghasilkan bunga raya menggunakan dawai berbulu yang berwarna-warni ini.

“Saya memilih menggunakan gabungan warna bendera kita iaitu biru, kuning, merah dan putih,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Duek, Hulu Besut di sini, semalam.

Siti Nur Natrah Yatimi berkata, dia memuat naik gambar bunga raya dihasilkannya itu yang dipasang bersama pin tudung dan mendapat permintaan memberangsangkan.

Katanya, pada peringkat awal dia menerima tempahan antara 20 hingga 30 kuntum sahaja namun kini mencecah sehingga 300 kuntum dalam tempoh kurang tiga minggu.

“Ia turut dijadikan sebagai aksesori yang dipakai di tudung mahupun bersama baju beragam sempena sambutan Hari Kebangsaan. Saya banyak menerima tempahan daripada guru yang menjadikan produknya itu sebagai cen­deramata murid mereka, selain permintaan daripada pelanggan di seluruh negara terma­suk Sabah dan Sarawak.

“Alhamdulillah, ia secara tidak langsung membuka peluang ‘gaji bermusim’ kepada saya yang mana ketika Bulan Kebangsaan memberi rezeki tambahan buat saya sebagai seorang suri rumah. Selain itu, ini adala salah satu cara untuk saya menyemai semangat patriotik me­lalui cara tersendiri,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×