Jawatankuasa Khas bendung buli di Johor bermesyuarat hari ini

Jawatankuasa Khas bendung buli di Johor bermesyuarat hari ini

AZNAN TAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Satu Jawatankuasa Khas bagi membendung isu buli di peringkat pelajar sekolah di negeri akan mula bermesyuarat pada hari ini bagi mencari pendekatan terbaik mengatasi perkara itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, mesyuarat yang akan diadakan buat pertama kali itu bagi menyusun dan menetapkan pendekatan bagi atas masalah sosial itu.

Katanya, mesyuarat tersebut membantu empat portfolio Exco Kerajaan negeri iaitu Pendidikan, Kesihatan, Kebajikan Masyarakat dan Hal Ehwal Agama Islam selain melibatkan agensi penguatkuasaan.

“Kerajaan negeri memandang serius isu buli ini dan disebabkan itu kita mewujudkan jawatankuasa khas untuk menyusun apakah cara mengatasi masalah tersebut.

“Jadi, hari ini kami akan bermesyuarat untuk meletakkan beberapa pendekatan yang dibuat di peringkat negeri Johor untuk mengatasi masalah buli yang tular,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Citra Karisma 2025 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, di sini hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dilaporkan berkata, mahu siasatan kes buli melibatkan seorang murid di Johor disegerakan dengan tindakan sewajarnya dapat diambil.

Mengenai isu buli kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun di sekolah agama di Johor, Februari lalu, Aznan berkata, tindakan susulan akan diputuskan selepas mesyuarat pertama jawatankuasa khas petang ini.

Katanya, kanak-kanak yang juga pesakit kanser hidung itu dilaporkan mengalami gegaran otak dan masih dirawat di hospital.

“Isu buli yang semakin menular di kalangan pelajar adalah perkara yang amat membimbangkan kita semua kerana ia bukan sahaja menjejaskan emosi dan keselamatan murid, malah mampu mengganggu perkembangan akademik dan masa depan mereka.

“Menjadi peranan jawatankuasa khas ini yang akan bertindak sebagai platform penyelarasan bagi semua pihak termasuklah sekolah, ibu bapa, komuniti, agensi keselamatan, dan pihak berkuasa untuk bekerjasama mencari penyelesaian yang berkesan.

“Tindakan tegas juga akan diambil terhadap pelaku buli mengikut undang-undang dan garis panduan yang ditetapkan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×