KUALA LUMPUR: Dakwaan wujud unsur ‘kawtim’ atau penggunaan ‘orang dalam’ dalam proses pemberian kontrak oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) hanya sekadar persepsi serta tidak berasas.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, tuduhan kononnya projek diberikan atas faktor ‘anugerah politik’ atau kabel tertentu tidak benar dan tidak pernah diamalkan kementerian.
“Itu semua hanya persepsi dan tuduhan semata-mata,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Roslan Hashim (PN-Kulim Bandar Baharu) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Roslan meminta penjelasan berhubung punca projek terbengkalai atau projek sakit khususnya di Sabah dan Sarawak yang dikaitkan dengan amalan ‘kawtim’ serta pengaruh politik.
Menjawab soalan tambahan Datuk Matbali Musah (GRS-Sipitang) mengenai langkah segera memastikan keselamatan pengguna Lebuh Raya Pan Borneo sebelum projek itu siap sepenuhnya, Ahmad menjelaskan kementerian berdepan kekangan dana.
Katanya, pemasangan lampu jalan hanya dilakukan di kawasan tertentu seperti persimpangan dan bulatan, manakala keseluruhan lebuh raya tidak dapat dipasang kerana peruntukan terhad.
“Selain itu, kontraktor diwajibkan mengambil insurans tanggungan awam. Sekiranya berlaku aduan tertentu seperti kerosakan kenderaan, pengguna boleh terus berurusan dengan kontraktor. Malah, sebarang kerja di tapak tidak boleh dimulakan tanpa mengambil insurans ini,” katanya.
Beliau menambah, pemantauan serta audit kerja dilakukan secara berterusan bagi memastikan kualiti projek terjamin dan keselamatan pengguna jalan raya terpelihara. – UTUSAN










