Buli itu luka di jiwa, kudis masyarakat

Buli itu luka di jiwa, kudis masyarakat

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Sedih dan pilu mengenang apa yang berlaku dalam masyarakat kita, terutama melibatkan kanak-kanak dan pelajar.

Manakan tidak, ketika kita berusaha melahirkan insan berpendidikan , berilmu dan menjadi insan yang seimbang berdasarkan Falsafah Pendidikan Negara, kita dikejutkan laporan berita yang menyedihkan berlaku di sekolah sama ada melibatkan guru, pelajar atau siapa sahaja warga sekolah.

Terdapat isu cerita kurang sedap didengar dari luar pagar sekolah , malah di beberapa institut pendidikan sekali pun, perbuatan yang kita saya kategorikan sebagai di luar batas kemanusiaan.

Bacalah semula Falsafah Pendidikan Negara yang dirangka sejak sekian lama dengan beberapa inti pati mendukung pembentukan insan seimbang dan harmonis, tidak menekankan akademik sahaja, dan kita sudah melaksanakannya.

Betapa pun kita rumit melahirkan insan cemerlang yang seimbang termasuk kerohanian yang sempurna, isu isu kebelakangan ingin benar benar menyentap emosi.

Pelajar tumbuk guru, berlaku kes-kes menjijikkan yang tidak patut berlaku dalam usia muda dan lebih memilukan, berlaku di institusi pendidikan seperti sekolah atau universiti.

Amang seksual, penderaan fizikal entah siapa pelakunya jangan siapa menafikan, amat menyedihkan. Perbuatan mendera, membuli atau mencederakan emosi dan fizikal mencabar kewarasan kita kalau benar pelakunya adalah pelajar.

Nilai kasih sayang, empati, tolak ansur dan sabar sudah menipis antara faktor berlakunya insiden melibatkan pelajar ini.

Adakah pelajar kita sudah kurang pendidikan atau ada yang tidak kena dengan sistem yang kita lalui sekarang. Menyalah kan sesiapa, menuding jari kepada guru dan sekolah juga tidak adil kerana ibu bapa perlu bertanggungjawab menjadikan anak mereka sebagai insan.

Bagi saya rumah sepatutnya menjadi institusi pendidikan pertama sebelum pelajar dilepaskan, melepasi pagar sekolah untuk menerima pendidikan formal dibimbing guru terlatih.

Kenapa berlaku dan apa puncanya? Yang pasti ia ada kena mengena dengan tingkah laku manusia.

Ada beberapa kes buli berdasarkan kategori seperti membabitkan penderaan fizikal seperti pelajar dipukul beramai-ramai oleh rakan sekolah senior atas alasan enggan mengikut arahan.

Biasanya kes kes seperti ini berlaku di asrama sekolah atau Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Kes kes seperti ini boleh menyebabkan kecederaan parah atau kematian kepada mangsa. Satu lagi kategori adalah secara verbal atau lisan iaitu mengejek atau menghina mangsa dari status keluarga dan tahap sosial.

Mangsa diejek miskin, keluarga melarat menyebabkan trauma kepada mangsa. Yang lebih membimbangkan adalah buli melibatkan sekumpulan murid tertentu yang mungkin membalas dendam atau ingin menunjukkan kekuasaan kepada mangsa.

Apa pun kategori buli, mangsa mengalami trauma dan kecederaan sama ada fizikal atau psikologi. Mereka yang menjadi mangsa boleh mengambil keputusan nekad menamatkan riwayat diri kerana tidak tahan dengan penderitaan yang ditanggung akibat tindakan agresif pembuli berkenaan.

Seperti yang dikongsikan Pensyarah Kanan Jabatan Bimbingan dan Kaunseling Fakulti Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
Dr. Syazwana Aziz, perlakuan buli bukan baharu. Malah katanya, perlakuan buli ini telah dikaji secara meluas pada abad ke-20 di Scandinavia dan seterusnya tersebar luas di serata dunia sehingga ke hari ini.

 

 

“Namun apa yang lebih membimbangkan isu salah laku buli pada abad ini semakin mengganas sehingga meragut nyawa manusia tanpa mempunyai rasa belas kasihan. “ Tingkah laku buli adalah ganas yang menyebabkan kesakitan fizikal dan emosi yang dilakukan oleh individu atau kumpulan yang lebih kuat (pelaku buli) untuk berlawan dengan individu atau kumpulan yang lemah,” ujarnya.

Kata beliau lagi, mangsa buli yang tidak mempunyai kuasa menentang menyebabkan pelaku berasa seronok dan puas untuk melakukan perlakuan membuli berulang kali.

Perasaan keseronokan yang timbul ini menyebabkan pelaku buli mempunyai keinginan untuk terus membuli mangsa yang lemah. Tingkah laku mencederakan fizikal dan emosi individu lain dengan secara sengaja ini adalah salah satu daripada tingkah laku devian atau menyimpang.

Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA) dan Pensyarah Kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof.

Madya Dr. Shazli Ezzat Ghazali berkata, buli merupakan tingkah laku agresif yang disengajakan untuk mencederakan, mengancam atau mengawal orang lain secara fizikal, emosi, sosial atau digital.

Dari sudut psikologi, ia adalah manifestasi ketidakseimbangan kuasa antara pelaku dan mangsa, iaitu pelaku merasakan kepuasan atau kuasa melalui penderitaaan orang lain. Kajian menunjukkan bahawa buli bukan sekadar masalah disiplin, tetapi disebabkan seseorang mengalami konflik dalaman yang tidak diselesaikan sehingga menyebabkan wujudnya simptom kepada isu psikologi yang lebih mendalam seperti rasa tidak berdaya, tekanan hidup, atau pengalaman trauma yang tidak diurus dengan baik. Isu buli tidak hanya melibatkan pelaku dan mangsa.

Ia juga menyentuh peranan saksi, ibu bapa, guru, komuniti, dan masyarakat secara keseluruhan. Pelaku mungkin berasal daripada latar belakang keluarga yang kurang memberikan perhatian emosi atau dibesarkan dalam persekitaran yang menghalalkan kekerasan sebagai cara menyelesaikan masalah.

Mangsa pula sering berdepan kesan psikologi jangka panjang seperti rendah diri, gangguan cemas, kemurungan dan trauma kompleks. Saksi yang tidak bertindak juga berisiko menjadi tidak peka terhadap penderitaan orang lain, sekali gus mewujudkan kitaran normalisasi buli.

Dari sudut psikologi persekitaran, buli sering berlaku apabila kawalan sosial lemah, komunikasi antara pihak berautoriti dan mangsa tidak terbuka, serta norma kumpulan membenarkan perilaku kasar. Tekanan akademik, pengaruh media yang mengagungkan kekerasan, serta kurangnya kemahiran mengurus emosi. Dari perspektif psikologi perkembangan, jika sifat empati tidak dibentuk sejak awal, individu cenderung melihat orang lain sebagai “objek” dan bukannya manusia yang setara dan berperasaan.

Mangsa buli berisiko tinggi mengalami gangguan kesihatan mental seperti post-traumatic stress disorder (PTSD), kemurungan, dan gangguan kebimbangan. Pelaku pula, jika tingkah laku tidak dikawal, berpotensi mengulangi corak keagresifan hingga dewasa, termasuk dalam hubungan rumah tangga atau pekerjaan. Dari perspektif sosial, gejala buli memusnahkan rasa percaya dalam

komuniti, menanam ketakutan dalam persekitaran pembelajaran atau kerja, dan menghakis modal sosial yang menjadi asas keharmonian masyarakat. Buli bukan sekadar isu peraturan, tetapi masalah kemanusiaan yang memerlukan pendekatan berasaskan empati dan kasih sayang. Pelaburan terbesar untuk mengurangkan gejala buli adalah dengan membina generasi yang memahami nilai kemanusiaan, menghormati perbezaan, dan menghargai hubungan sosial. Isu buli justeru bukan masalah sekolah dan institusi pendidikan meskipun seperti yang dikongsikan

Timbalan Wanita IKRAM Malaysia Nurhakimah Mohamad yang memetik data Kementerian Pendidikan bahawa kes buli sekolah meningkat daripada 3,887 pada tahun 2022 kepada 4,994 kes pada Oktober 2023. Bilangan pelajar yang terlibat pula mencapai 11,594 orang.

Ini menunjukkan bukan sahaja peningkatan kuantitatif, malah mencerminkan kegagalan sistemik untuk melindungi pelajar. Angka sekadar penanda aras tapi bagaimana kita perlu selesaikan isu yang bakal menjadi kudis atau parut kekal dalam masyarakat. Beliau berpendapat, bagi menanganinya, Kementerian Pendidikan perlu memastikan sekolah mempunyai dasar antibuli jelas, difahami dan dilaksanakan tanpa kompromi, diiringi pendidikan membentuk masyarakat berani menegur, melaporkan, dan membantu mangsa. “Mangsa tidak boleh dibiarkan sendirian, manakala keberanian individu yang tampil membela atau upstander — mesti dilindungi melalui mekanisme sokongan yang selamat bagi mengelakkan mereka menjadi sasaran seterusnya,“ ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×