JASIN: Anak pemandu lori, G. Kishendran, 23, mencatat sejarah peribadi apabila meraih purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 untuk enam semester berturut-turut, sekali gus melayakkannya menerima Anugerah Pengarah serta Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Politeknik Merlimau Melaka.
Anak ketiga daripada enam beradik, Kishendran dibesarkan dalam keluarga sederhana dengan ibu bapanya mengusahakan perniagaan katering dan memandu lori sebagai punca rezeki.
Namun, kesederhanaan itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk berjaya dalam bidang yang diminati.
Sepanjang tiga tahun pengajian, beliau mengekalkan rekod cemerlang termasuk ketika menjalani latihan industri.
Lebih membanggakan, beliau turut aktif menyertai pelbagai aktiviti kokurikulum hingga memperoleh markah MERIT KITA sebanyak 88.75 peratus iaitu sistem penilaian menyeluruh Politeknik Malaysia yang menilai bukan sahaja pencapaian akademik tetapi juga kokurikulum, kepimpinan serta sahsiah pelajar.
“Setiap usaha memerlukan proses, yang secupak tak kan jadi segantang. Saya pernah hampir berputus asa, rasa rendah diri dan tidak yakin, tetapi sokongan ibu bapa, pensyarah serta rakan-rakan menjadi kekuatan untuk terus bangkit.
“Kejayaan ini saya dedikasikan kepada ibu bapa yang bekerja keras siang malam, pensyarah yang tidak pernah jemu membimbing serta rakan-rakan yang sentiasa ada ketika susah dan senang. Terima kasih untuk segalanya,” katanya pada Istiadat Konvokesyen Politeknik Merlimau Melaka di sini, hari ini.
Kishendran berkata, saat paling bermakna dalam hidupnya akhirnya terlaksana apabila dapat melihat kedua ibu bapanya naik ke pentas bersama bagi menerima pengiktirafan itu. Ia sesuatu yang tidak dapat dinikmati ketika memperoleh 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Katanya, dia kini berkhidmat sebagai eksekutif akaun dan pentadbiran di sebuah syarikat swasta sambil menunggu keputusan permohonan melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Sains Malaysia (USM) atau Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). – UTUSAN







