KUALA NERUS: Teka-teki berhubung siapakah individu yang bakal menduduki kerusi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC (TFC) akhirnya terjawab apabila Sheikh Farouk Sheikh Mohamed Al-Bajrai diumumkan sebagai peneraju baharu skuad Penyu.
Pelantikan itu mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Mohd. Sabri Abas selepas berlaku pertukaran Pegawai Tadbir Terengganu pada 4 Mei lalu. Sepanjang kekosongan tersebut, jawatan CEO dipangku Ketua Pegawai Operasi, Mohd. Syahrizan Mohd. Zain.
Menerusi kenyataan rasmi Terengganu Football Club Sdn. Bhd. (TFCSB), pelantikan Sheikh Farouk dibuat selepas melalui proses temuduga tertutup pada 8 Julai lalu sebelum dibentangkan panel kepada Ahli Lembaga Pengarah.
Keputusan penuh mengenai pelantikan itu pula dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Ahli Lembaga Pengarah TFCSB pada 27 Julai sebelum diumumkan secara rasmi kepada umum setelah semua urusan pentadbiran selesai.
“Sheikh Farouk pernah dilantik sebagai Pengerusi Impact Integrated iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan yang memfokuskan belia serta e-sukan. Selain itu, beliau berperanan sebagai Penasihat Persatuan Orang Pekak Malaysia serta Ahli Jawatankuasa Pemasaran dan Penajaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” menurut kenyataan berkenaan. – UTUSAN











