Bukan semua anak lahir ke pelukan ibu dengan penuh kasih sayang. Ada yang menjadi mangsa pengabaian, kemarahan dan sikap zalim ibu sendiri.
Minggu ini saya kongsikan kisah Husna (bukan nama sebenar) yang dibesarkan oleh seorang ibu bagi dijadikan sebagai tempat melepaskan kemarahan.
Orang luar melihat ibunya sebagai wanita bekerjaya yang tegas dan penyayang.
Tetapi di rumah, dia menjadi mangsa kemarahan yang datang dalam pelbagai bentuk.
Daripada teguran kasar, perbandingan dengan orang lain, hingga kritikan rupa paras .
Kata Husna, sejak bapa meninggalkan mereka dua beranak, dia membesar bersama ibu. Ketika itu dia berusia 10 tahun.
“Setiap kali ibu ada masalah di tempat kerja atau kehidupan harian, saya menjadi sasaran kemarahannya.
“Ada ketikanya saya sering rasa ibu bencikan saya,” ujarnya dalam pertemuan baru-baru ini.
Husna yang ditemani suaminya, Sani (bukan nama sebenar) tidak berniat untuk membuka aib ibu kandung, tetapi untuk berkongsi pengalaman sebagai pengajaran.
Kesan daripada caranya dibesarkan, Husna sering mempersoalkan kemampuan dirinya.
Dia takut, bimbang dan rasa tidak cukup baik dalam segala-gala aspek.
Sepanjang membesar, dia memendam semua perasaan bersalah dan mula percaya dirinya adalah punca bapa meninggalkan keluarga.
Hari memasuki minggu dan minggu bertemu bulan, Husna membesar menjadi remaja yang penuh rasa takut dan bersalah.
“Saya sentiasa cuba menyenangkan hati ibu, bermula dari sekolah rendah, menengah sehinggalah memasuki universiti, namun tetap tidak pernah cukup,” ujarnya.
Kisah Husna tidak tamat di situ, konflik berat muncul apabila ibunya mula campur tangan dan cuba merosakkan rumah tangganya.
Selepas setahun bekerja, dia berkenalan dengan Sani, seorang lelaki penyabar dan memahami kisah silamnya.
Pada awalnya, dia berharap perkahwinan itu menjadi benteng melindungi diri daripada ibu, namun jangkaannya silap.
Dua minggu selepas mereka berkahwin, ibu sering menghubungi Sani, tanpa pengetahuannya dan bercerita segala hal buruk.
“Macam-macam yang diceritakan seperti lari dari rumah ikut lelaki lain dan pernah memukul ibu.
“Suami tahu saya tidak pernah buat begitu dan ia hanyalah rekaan ibu semata-mata,” katanya.
Ibunya tidak pernah berputus asa dengan kemuncaknya terjadi ketika Husna hamil tiga bulan.
Wanita itu datang tanpa diundang bersama beg pakaiannya untuk tinggal bersama.
Sejak itu, hidup Husna berubah jadi tidak selesa.
Ibu sentiasa mengkritik masakannya, cara dia mengemas dan melayan suami.
Lebih teruk ibu pernah memberitahu Sani yang dia bukan perempuan yang baik untuk dijadikan isteri.
Sani menegur ibu mentuanya secara baik agar tidak campur tangan dalam urusan rumah tangga mereka.
Wanita itu naik angin dan menuduh mereka membuangnya.
Setelah gagal meruntuhkan rumah tangga mereka, ibu semakin terdesak.
Beberapa minggu kemudian, hubungan Husna dan suami sedikit tegang.
Masing-masing cepat marah, dan ada perasan benci antara satu sama lain.
Husna juga sukar tidur dan sering bermimpi buruk.
“Mulanya, saya sangka ia hanya tekanan kerja, tetapi bila sering diganggu di rumah, saya rasa ada sesuatu yang tidak kena.
“Setiap kali bersendirian di rumah, terasa ada kelibat memerhati, bahkan nasi dan lauk dimasak pun cepat basi,” ujarnya.
Menurut Husna lagi, mereka mengambil keputusan untuk bertemu seorang ustaz.
Apa yang diberitahu sangat mengejutkan. Husna dan suami terkena sihir pemisah.
Sihir bagi memastikan mereka bercerai-berai.
Walaupun ustaz tidak memberitahu nama pelaku, tetapi dia sudah dapat mengagak siapa.
“Kami diminta tidak membalas perbuatan tersebut dengan kebencian, sebaliknya tetap menghormati dan melindungi diri dengan doa.
“Saya benar-benar sedih dan kecewa. Kami memilih diam kerana tahu peperangan itu bukan hanya di dunia nyata, tetapi alam mistik,” ujarnya.
Beberapa tahun berlalu, Husna meneruskan kehidupannya sebagai isteri dan ibu kepada sepasang cahaya mata.
Hubungannya dengan ibu masih tegang seperti dahulu, tetapi dia tetap menjaga batas hormat sebagai seorang anak.
Menurut Husna, walaupun luka itu tidak pernah hilang, dia memilih untuk menjadi manusia yang lebih baik.
“Semasa kecil saya tidak tahu kenapa ibu bersikap demikian, sekarang sudah ada jawapannya, kemarahannya bukan sepenuhnya kerana saya.
“Dia kecewa dan terluka kerana ditinggalkan ayah yang berkahwin lain. Bukan mudah untuk ibu mengawal dan menenangkan diri seorang diri,” ujarnya.
Tambah Husna, ibu tetap ibu. Insan yang melahir dan membesarkannya. Siapalah dia untuk menyimpan dendam apa lagi menjatuhkan hukum.
Walaupun perbuatan ibunya salah, dia tetap menyayangi wanita itu.
“Saya tahu, ibu terluka, berjuang seorang diri selepas ditinggalkan suami.
“Kemarahan itu adalah cara ibu melepaskan rasa sakit dan kecewa, meskipun ia salah dan meninggalkan kesan berpanjangan kepada emosi saya,” ujarnya mengakhiri perbualan lewat petang itu.
Kisah Husna memberi banyak pengajaran yang dengan kesedaran dan sokongan, dia boleh pulih serta membina hidup lebih baik.
Sesungguhnya, dalam al-Quran dan hadis terdapat banyak ayat yang menjelaskan tentang kemuliaan dan kedudukan ibu.
Sabda Rasulullah SAW turut menyebutkan kata ibu tiga kali sebelum kata ayah.
“Seorang pria pernah mendatangi Rasulullah SAW lalu berkata, “Siapa kerabatku yang paling berhak aku berbuat baik?” Beliau menyatakan, “Ibumu.” Dia berkata lagi, “Kemudian siapa lagi?” Beliau mengatakan, “Ibumu.” Dia berkata lagi, “Kemudian siapa lagi?” Beliau berkata, “Ibumu.” Dia berkata lagi, “Kemudian siapa lagi?” Beliau mengatakan “Ayahmu.” (Bukhari dan Muslim).









