Jangan abai nasib dan aspirasi anak muda

Jangan abai nasib dan aspirasi anak muda

PINDAAN yang dilakukan terhadap Akta Ke selamatan Sosial Pekerja 2025 menerima sokongan padu dari pada pelbagai pihak termasuk kesatuan sekerja, industri serta badan perundangan yang me nandakan kesepakatan nasional terhadap keperluan perlindu ngan menyeluruh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) tsebelum ini mengumumkan akan menjalankan kajian menyeluruh berhubung cadangan menaikkan umur persaraan wajib penjawat awam kepada 65 tahun. 

Pengumuman ini selaras dengan pemakluman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada 31 Julai lalu yang menekankan had umur persaraan wajib akan dikaji.

Walaupun pengumuman ini hanya merupakan suatu langkah untuk memulakan kajian, namun ia menimbulkan beberapa persoalan dan kerunsingan khususnya daripada golongan anak muda.

Kajian had umur persaraan yang dicadangkan  Perdana Menteri baru-baru ini didukung strategi peralihan Malaysia kepada negara tua. Malaysia dijangka menjadi negara tua pada  2030, apabila warganegara yang berusia lebih 60 tahun mencapai pola 15.3 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk negara. 

Menerusi penerbitan Anggaran penduduk semasa, Malaysia 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri melaporkan peratusan penduduk berumur 65 tahun dan lebih (umur tua) meningkat daripada 7.0 peratus kepada 7.3 peratus bagi tempoh yang sama dan berdasarkan definisi pengelasan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malaysia telah menjadi negara menua. Walau bagaimanapun, tidak seperti negara lain contohnya Jepun mengalami krisis populasi yang akut, peratusan golongan belia di negara ini kekal positif dan peratusan remaja bawah 18 tahun mencecah 24.7 peratus. 

Berdasarkan statistik ini, ia jelas hala tuju negara tidak sekali boleh meminggirkan nasib anak muda, seterusnya memberi mesej jelas dalam output kajian, apa implikasi yang anak muda dan negara bakal tanggung sekiranya had umur persaraan wajib dinaikkan.

Sekiranya had umur persaraan wajib dinaikkan, langkah ini dilihat bakal menguncupkan peluang pekerjaan anak muda khususnya dalam sektor kerajaan. Setiap tahun, Malaysia melahirkan puluhan ribu graduan dari pelbagai bidang dan dari serata institut pengajian. Para graduan ini siap sedia untuk diserap berkerja setelah menamatkan pengajian,termasuk pendedahan latihan industri. Namun, kenaikan had umur persaraan semestinya menyekat peluang para graduan pada tahun-tahun tertentu, disebabkan mereka perlu menunggu kekosongan terutamanya sektor kerajaan yang mempunyai waran yang terhad. 

Natijahnya, para graduan yang sepatutnya memulakan pekerjaan sejurus bergraduat, akan mengalami krisis pengangguran, ataupun terpaksa bekerja di luar bidang bagi menampung cabaran ekonomi yang tidak mengenal usia dan latar belakang.

Selain itu, anak muda juga risau akan mekanisme susulan sekiranya had umur persaraan wajib dinaikkan. Sebagai contoh, apakah tangga gaji, dan laluan kenaikan pangkat bakal terjejas disebabkan oleh kos operasi yang perlu ditanggung dan posisi yang masih diisi oleh penjawat senior? 

Kedua, secara umumnya, penjawat awam senior berkemungkinan besar mempunyai keterbatasan fizikal, sama ada sudah tidak boleh bekerja di luar waktu pejabat ataupun sudah mempunyai komplikasi kesihatan. Adakah beban ini terpaksa ditanggung oleh penjawat awam muda, hanya kerana terpaksa mengekalkan penjawat awam senior yang had umur persaraannya telah dinaikkan kepada 65 tahun?

Sekiranya kerisauan ini tidak cuba diselesaikan dalam kajian yang bakal dilaksanakan, kesan domino yang lebih buruk bakal berlaku jika kenaikan had umur persaraan terus dilaksanakan. Polemik dan jurang antara penjawat awam muda dan senior bakal meruncing, yang seterusnya menimbulkan suasana tidak harmoni di tempat kerja. 

Tekanan di tempat kerja juga bakal meningkat, dek kerana isu tidak puas hati akibat bebanan kerja yang tidak adil dan struktur gaji yang tidak setimpal. Lebih parah, anak muda yang kecewa ini akan mengambil jalan keluar berkhidmat di luar negara, yang menjanjikan pengembangan gaji dan kerjaya yang lebih menjamin masa hadapan. Situasi sebegini sudah berlaku, dan fenomena penghijrahan tenaga mahir ini sememangnya merugikan negara.

Tidak dinafikan, pembentangan  RMK13 oleh Perdana Menteri memacu hala tuju  jelas bagi menggapai aspirasi anak muda, khususnya melalui Transformasi Ekonomi yang bakal membuka peluang kerjaya bernilai tinggi dalam sektor teknologi tinggi, tenaga lestari dan ekonomi maritim. 

Walau bagaimanapun, isu kenaikan had persaraan bukanlah suatu isu yang ingin dijadikan polemik perseteruan antara golongan anak muda dan penjawat awam senior. 

Anak muda sememangnya memerlukan bimbingan dan curahan pengalaman daripada tenaga kerja senior. 

Bagi menjamin kemakmuran ekonomi serta kekuatan sumber tenaga manusia yang dimiliki oleh negara, sinergi dan pelan penggantian yang strategik antara golongan muda dan senior perlu dirangka dengan teliti sebagai suatu output kajian kenaikan had persaraan, terutamanya dalam aspek peralihan ilmu dan kepakaran. –UTUSAN

 

IRDINA FATIHAH ZUL HELMI

Bendahari Kehormat

Sekretariat Persatuan Mahasiswa Anak Selangor (PERMAS), 

Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×