Jalur Gemilang terbalik: Provokasi atau buta sejarah?

Jalur Gemilang terbalik: Provokasi atau buta sejarah?

SIKAP menghormati Jalur Gemilang mencerminkan semangat patriotisme dan jati diri bangsa yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JALUR Gemilang adalah denyut nadi sebuah bangsa, panji-panji maruah dan harga diri negara. Setiap helaiannya memikul kisah pengorbanan darah dan air mata pejuang terdahulu. Setiap kibaran di langit adalah janji setia anak watan kepada bumi yang dipijak. Tetapi alangkah luluhnya hati apabila melihat Jalur Gemilang tergantung terbalik, seakan dunia patriotisme kita juga turut berbalik. Adakah ini tanda kecuaian semata-mata atau sebuah isyarat halus yang menyembunyikan niat provokasi?

Di pentas antarabangsa, bendera terbalik menjadi tanda kecemasan iaitu lambang sebuah negara sedang merintih di hujung nyawa, memohon dunia menyedari bahaya yang menimpa. 

Namun di bumi Malaysia, apabila Jalur Gemilang dipasang terbalik, ia menimbulkan rasa marah, sedih dan malu dalam sanubari rakyat yang masih teguh cintanya. Bagi sesetengah orang, ia mungkin tidak lebih daripada kesilapan teknikal. Tetapi bagi yang memahami makna sejarahnya, ia adalah luka yang menggores maruah bangsa.

Tidak dapat dinafikan, sebahagian insiden berpunca daripada buta sejarah. Ramai yang membesar tanpa benar-benar memahami makna di sebalik setiap lambang dalam bendera.

Apabila sejarah hanya tinggal sebagai fakta peperiksaan, dan bukan nadi kehidupan, bendera terbalik tidak lagi dilihat sebagai penghinaan tetapi hanya ‘kesalahan kecil’ yang tidak perlu dibetulkan segera.

Pendidikan patriotisme tidak boleh bersifat bermusim, mekar hanya pada bulan kemerdekaan. Ia harus disemai sepanjang tahun, dalam hati anak-anak yang masih mentah cintanya kepada tanah air. Mereka perlu tahu Jalur Gemilang terbalik bukan sekadar ‘kesalahan posisi’ tetapi lambang duka, tanda negara sedang genting. Apabila kesedaran ini membara, setiap rakyat akan menjadi penjaga maruah negara, peka dan tangkas membetulkan bendera yang salah, walau di manapun ia berada.

Rakyat juga perlu memikul tanggungjawab kolektif. Jika terlihat Jalur Gemilang terbalik, jangan berpaling dan berdiam diri. Hati yang cinta pada negara akan tergerak untuk bertindak menegur dengan sopan, membetulkan dengan tangan, atau melaporkan kepada pihak berkuasa. Patriotisme bukan hanya pada kata-kata atau nyanyian lagu, tetapi pada keberanian mempertahankan simbol negara walau dalam perkara sekecil membetulkan arah bendera.

Namun, sebelum menghukum, siasatan yang adil mesti dibuat. Tidak semua yang melakukan kesalahan ini berniat jahat. Ada yang benar-benar tidak tahu, ada yang cuai, dan ada pula yang sengaja mahu mencipta naratif kebencian. Mereka yang sengaja, perlu menerima balasan setimpal. Mereka yang lalai, perlu dibimbing agar tidak mengulang kesilapan. Inilah keseimbangan antara tegas dan mendidik, antara undang-undang dan kesedaran.-UTUSAN

 

CHE RAHMAH AHMAD 

Parit Sulong, 

Johor

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×