'Saya lebih suka belajar di kelas' - Utusan Malaysia

‘Saya lebih suka belajar di kelas’

PASIR SALAK 24 MEI 2021: NADIA Aliscia Natasha Zainal ditemani ibunya, Bayzura Bah Tom ketika pelajar tingkatan dua itu mengikuti sesi PdPR di rumahnya di Kampung Baharu Pahlawan, Langkap dekat Pasir Salak hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR SALAK: “Capaian internet di kawasan ini tak stabil, lemah dan kerap terganggu, saya lebih suka belajar di kelas.”

Demikian keluhan pelajar Orang Asli di Kampung Baharu Pahlawan, Langkap dekat sini, Nadia Aliscia Natasha Zainal, 14, ketika menceritakan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Dato’ Sagor, Langkap itu berkata, capaian internet di kampungnya tidak stabil kerana kedudukan yang jauh di pedalaman.

Katanya, ini menyebabkan sesi PdPR kadangkala terganggu.

“Saya kena cari tempat tertentu kalau nak dapatkan capaian internet baik, kadangkala kena ke hutan, kebun sawit atau kebun getah baru jumpa capaian internet penuh,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Keadaan itu menyukarkan dia untuk belajar dan antaranya menjadi faktor kepada tumpuannya dalam pelajaran terjejas.

“Saya lebih suka belajar di sekolah kerana lebih fokus dan lebih faham pelajaran diajar cikgu,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada pelajar berkenaan, Bayzura Bah Tom berkata, dia memahami masalah anaknya tetapi mereka tiada pilihan selain terus mengikuti PdPR.

Katanya, walaupun tinggal di pedalaman, rata-rata penduduk ada gajet khususnya telefon pintar dan tiada masalah untuk anak-anak mereka mengikuti sesi PdPR.

“Namun perkara yang menjadi masalah capaian internet.

“Kalau nak dapatkan capaian internet yang baik, kena cari tempat tinggi, inilah yang menjadi masalah untuk anak-anak kami yang masih bersekolah,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×