Harap Hoe Yean bawa pulang pingat

Harap Hoe Yean bawa pulang pingat

Malaysia meletakkan harapan kepada Khiew Hoe Yean untuk membawa sinar daripada kolam renang pada Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kem Malaysia sekali lagi mengharapkan sentuhan emas Khiew Hoe Yean pada Sukan SEA 2025 di Thailand, Disember ini memandangkan proses pembangunan semula renang negara dijangka memakan masa yang panjang.

Timbalan Presiden Malaysia Aquatics (MAS), Marilyn Chua berkata, selain Hoe Yean, peluang pingat emas turut dilihat dalam acara 4x200m gaya bebas lelaki dan 4x100m gaya ganti wanita selain mengakui saingan acara individu terlalu sengit.

Hoe Yean sebelum ini merangkul emas dalam acara 200m gaya bebas lelaki di Sukan SEA Hanoi 2021 dan Phnom Penh 2023, yang juga satu-satunya emas renang negara pada kedua-dua edisi tersebut.

Perenang berusia 22 tahun itu dijangka menjadi pencabar utama dalam acara 200m dan 400m gaya bebas di Thailand nanti.

“Hoe Yean adalah perenang utama kita dan semestinya kita bergantung harap kepadanya untuk bawa pulang emas,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Sukan SEA di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (OCM), kelmarin.

Beliau berkata, MAS masih dalam fasa membina semula program pembangunan renang negara dari awal dengan jurulatih baharu, satu proses jangka panjang yang dijangka hanya membuahkan hasil dalam tempoh lapan hingga 10 tahun.

MAS akan menghantar kontinjen besar ke Sukan SEA Thailand merangkumi 27 perenang, enam penerjun, 17 perenang artistik, 14 pemain polo air dan lima perenang perairan terbuka, termasuk menghantar skuad penerjun muda yang akan memburu empat emas yang ditawarkan dalam acara terjun. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×