Golden Dome AS dijangka siap 2028, telan belanja RM738 bilion

Golden Dome AS dijangka siap 2028, telan belanja RM738 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sistem pertahanan peluru berpandu baharu ‘Golden Dome’ yang dibangunkan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka siap pada 2028, melibatkan empat lapisan pertahanan, satu berpangkalan di angkasa lepas dan tiga lagi di darat.

Ia akan dilengkapi 11 bateri jarak dekat yang ditempatkan di seluruh AS, Alaska dan Hawaii.

Menurut pembentangan slaid kerajaan yang dilaporkan Reuters, projek mega itu yang dianggarkan menelan kos AS$175 bilion (RM738 bilion) namun, dokumen tersebut mendedahkan masih wujud ketidaktentuan terhadap jumlah pelancar, pemintas, stesen bumi serta tapak peluru berpandu yang diperlukan.

Setakat ini, Kongres meluluskan AS$25 bilion (RM 105 bilion) untuk projek itu melalui rang undang-undang perbelanjaan Trump pada Julai lalu, manakala AS$45.3 bilion (RM 191 bilion) lagi diperuntukkan dalam bajet Presiden bagi tahun 2026.

Empat lapisan sistem itu merangkumi satu lapisan penderiaan dan penjejakan berpangkalan di angkasa lepas bagi amaran awal peluru berpandu, diikuti tiga lapisan darat terdiri daripada pemintas, radar dan kemungkinan senjata laser.

Antara yang menjadi perhatian ialah cadangan pembinaan sebuah medan peluru berpandu besar di wilayah Midwest untuk menempatkan ‘Next Generation Interceptors’ (NGI) keluaran Lockheed Martin, sebahagian daripada ‘lapisan atas’ bersama sistem Sistem Pertahanan Peluru Berpandu Terminal Altitude Tinggi (THAAD) dan Aegis.

NGI merupakan peluru berpandu moden bagi rangkaian Sistem Pertahanan Pertengahan Berasaskan Darat (GMD) yang kini menjadi perisai utama AS terhadap ancaman peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) dari negara musuh.

Ketika ini, AS mengendalikan tapak pelancar GMD di California Selatan dan Alaska, dan rancangan baharu itu akan menambah satu lagi tapak di Midwest.

Pembentangan itu turut menggariskan cabaran teknikal termasuk kelewatan komunikasi dalam rantaian sistem serangan dan antara kontraktor terlibat termasuk Lockheed Martin, Northrop Grumman, RTX dan Boeing.

AS bercadang menggunakan pemintas berpangkalan di angkasa untuk tujuan ini, meskipun mengakui belum pernah membina kenderaan yang mampu menahan haba semasa memasuki semula atmosfera sambil menjejaki peluru berpandu musuh.

Barisan pertahanan terakhir atau ‘lapisan bawah’ akan menggunakan radar baharu, sistem Patriot sedia ada serta pelancar ‘serba guna’ yang boleh melancarkan pemintas pelbagai jenis ancaman manakala sistem modular dan mudah alih itu direka untuk digerakkan dengan pantas tanpa bergantung kepada tapak kekal.

Jeneral Angkatan Angkasa AS, Michael Guetlein yang dilantik memimpin projek ini bulan lalu, diberi tempoh 30 hari untuk membentuk pasukan, 60 hari bagi menghasilkan reka bentuk awal dan 120 hari untuk membentangkan pelan pelaksanaan penuh termasuk perincian satelit dan stesen bumi, menurut sumber yang dimaklumkan mengenai memo ditandatangani Setiausaha Pertahanan, Pete Hegseth. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×