Empat tuntutan khas kes kematian Zara Qairina

Empat tuntutan khas kes kematian Zara Qairina

Kira-kira 50 wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sekumpulan mahasiswa berkumpul di hadapan Bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum berhubung kes buli dan kematian Zara Qairina, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementeri­an Pendidikan (KPM) mene­rima empat tuntutan khusus berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir menerusi memorandum yang diserahkan pada himpunan aman #KeadilanUntukZara di Taman Tugu dan Pintu Utama Parlimen, hari ini

Memorandum itu diserahkan kepada Ketua Setiausaha KPM, Datuk Dr. Ts. Aminuddin Hassim sebelum Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerima kunjungan wakil aktivis pelajar di Parlimen bagi membincangkan isu tersebut secara lanjut.

Fadhlina berkata, empat tuntutan itu menyentuh aspek reformasi pendidikan, prosedur operasi standard (SOP) kes buli, latihan kepada warga sekolah dan penjelasan terbuka kepada masyarakat.

“Kes ini menjadi perhatian utama Kementerian. Saya meletakkan harapan penuh agar kebenaran dan keadilan dapat ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tuntutan pertama ialah me­lak­­sanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem pendidikan nasional khususnya isu buli.

Maklum balas diberikan KPM ialah mereka telah mengambil langkah meningkatkan kese­lamatan di sekolah termasuk audit keselamatan, penambahbaikan sistem aduan, penubuhan jawatankuasa reformasi keselamatan, tindakan tegas terhadap pelaku buli dan memperkukuh sokongan psikososial.

Tuntutan kedua pula ialah mengadakan sesi libat urus bersama gerakan mahasiswa dan masyarakat sivil bagi membentuk SOP jelas dan tegas terhadap kes buli.

Maklum balas diberikan ialah KPM bersetuju dan akan melaksanakan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh serta menerima cadangan penambahbaikan garis panduan sedia ada.

Selain itu, tuntutan ketiga adalah mewajibkan latihan mandatori dan berkala kepada guru, pentadbir serta warden berhubung intervensi krisis, pengurusan emosi pelajar dan tatacara pengendalian aduan yang berpihak kepada mangsa.

Oleh itu, KPM akan memperkasakan latihan supaya pentadbir sekolah, guru dan warden sentiasa bersedia menangani kes buli.

Terakhir, tuntutan keempat pula KPM perlu memberikan penjelasan terbuka kepada masyarakat mengenai isu ini dan tindakan pihak sekolah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×