Tuntutan MPC, TSG selesai minggu ini – Jefri

Tuntutan MPC, TSG selesai minggu ini – Jefri

Jefri Ngadirin
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Isu tuntutan dana melibatkan Malaysia Pro Cycling (MPC) dan Terengganu Cycling Team (TSG) bakal berakhir minggu ini apabila Majlis Sukan Negara (MSN) bakal memuktamadkan rundingan dengan kedua-dua pihak.

Ketua Pengarah MSN, Jefri Ngadirin berkata, pihaknya sudah menerima permohonan rasmi daripada kedua-dua pasukan minggu lalu dan keputusan akan dibuat berdasarkan senarai akhir atlet Kategori A disahkan Jawatankuasa Pemilihan.

“Kita akan beri bantuan, cuma jumlahnya bergantung kepada perbincangan dengan persatuan masing-masing kerana permohonan kali ini agak besar.

“Jangan lupa, kali ini kita hantar hampir 50 jenis sukan membabitkan 800 hingga 900 atlet, jumlah yang sangat besar untuk ditanggung kerajaan,” katanya selepas menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA,Thailand.

Jeffri menegaskan, tidak semua tuntutan dapat dipenuhi sepenuhnya memandangkan kerajaan perlu mengagihkan peruntukan secara adil kepada semua persatuan yang terlibat dalam Sukan SEA 2025 di Thailand.

“Sudah tentu kita akan rundingkan dengan persatuan, insya-Allah isu ini akan selesai minggu ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) mengesahkan pecahan awal skuad lebuh raya negara ke Sukan SEA adalah 4-4-1 membabitkan empat pelumba TSG, empat pelumba MPC dan seorang lagi dari skuad kebangsaan.

Setiausaha PKBM, Ahmad Arif Astaman berkata, senarai akhir hanya akan dimuktamadkan pada 1 September bagi memberi ruang rundingan bersama Majlis Sukan Negara (MSN) berhubung permohonan tambahan atlet.

“Kita mahu berikan peluang penuh kepada MSN membuat pertimbangan, sementara PKBM akan berbincang dengan pasukan terlibat.

“Ini misi mempertahankan dua pingat emas lebuh raya yang dimenangi dua edisi berturut-turut. Kita akan pastikan pasukan terbaik turun,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet Sukan SEA 2025.

Terdahulu TSG dan MPC menegaskan bahawa sekiranya bajet tambahan yang diminta iaitu sebanyak RM250,000 tidak dapat dipenuhi maka mereka tidak akan melepaskan pelumba untuk mewakili negara ke Sukan SEA.

Namun MSN sebelum ini menegaskan bahawa tiada bajet tambahan akan diberikan kepada PKBM dan MSN didakwa hanya membenarkan penggunaan baki peruntukan RM196,000 sekali gus jumlah yang dianggap tidak relevan mengikut kos semasa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×